Tun M pelik, hairan dengan kenyataan Anwar

0
125

TUN Dr Mahathir Mohamad menyatakan rasa hairan dan peliknya terhadap kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menyatakan enggan bergaduh dengannya.

“Ketika berdialog dengan pelajar-pelajar universiti (Anwar) telah berkata bahawa dia tidak mahu bergaduh dengan saya.

“Ini agak pelik. Dia fitnah saya bermacam-macam selama berpuluh tahun. Semasa itu pun apabila minta tunjuk bukti, tak ada satu pun bukti yang dia tunjuk walaupun dengar cerita ada berkotak-kotak bukti dalam simpanannya.

“Saya tidak ambil tindakan (ketika itu) kerana saya anggap ia perbuatan seseorang yang terdesak kerana terlampau mahu jadi perdana menteri,” kata bekas perdana menteri itu dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

Terdahulu Mahathir dilaporkan akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Anwar berhubung tuduhan yang bekas ahli Parlimen Langkawi itu mengumpul kekayaan peribadi semasa berkuasa.

Ia selepas surat bertarikh semalam (17 April) dan dihantar peguam Anwar, Aliff Benhamin Suhaimi, menyatakan perdana menteri menafikan semua dakwaan Mahathir.

Mahathir menghantar surat tuntutan kepada Anwar pada 27 Mac bagi menuntut pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menarik balik dakwaan yang dibuat semasa ucapan dasar pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, pada 18 Mac lalu.

Sekiranya Anwar gagal menjawab surat itu, Mahathir berkata, dia akan meneruskan tindakan undang-undang.

Anwar tidak menyebut nama Mahathir tetapi merujuk tempoh pemerintahannya dengan berkata: “Ada orang sekarang, setelah 22 tahun, campur 22 bulan jadi berkuasa, sekarang mengeluh.

“Melayu hilang segala-galanya? Hilang harta, hilang saham. Bagaimana saja hilang kalau kamu bolot untuk keluarga dan anak-anak kamu?

“Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat. Jangan perbodohkan rakyat. Rakyat harus bangkit mempertahankan hak mereka.

“Kumpulkan.. tonton… Tan Sri-Tan Sri, tauke-tauke besar, berapa kerap orang sekarang merencana untuk mengugat dan menggunakan sentimen kaum, mengajak orang-orang Melayu membenci kepada kaum-kaum lain dan menyatakan kuasa hilang,” dakwa Anwar.

Mahathir mendakwa kenyataan tersebut adalah rujukan yang jelas kepadanya kerana laporan media mengenai ucapan itu menyebut namanya.

Pada 7 April lalu, Anwar berkata dia tidak ragu-ragu untuk memberikan bukti kepada Mahathir untuk menyokong dakwaannya.

“Saya tak nak gaduh, dia minta bukti saya bagi bukti… no problem,” kata Anwar semasa sesi dialog bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sementara itu Mahathir berkata, Anwar selepas menjadi perdana menteri masih terus memfitnahnya.

“Jadi saya minta tarik balik dan jika tidak saya ambil tindakan undang-undang. Itulah yang saya lakukan. Jadi siapa yang cari gaduh?” soalnya, lapor MalaysiaKini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here