Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Trofi Oscar tiba di Malaysia, Michelle Yeoh kongsi kejayaan -

Trofi Oscar tiba di Malaysia, Michelle Yeoh kongsi kejayaan

SELEPAS setahun menanti dengan penuh harapan, Tan Sri Michelle Yeoh akhirnya membawa pulang trofi Oscar ke tanah air.

Menggambarkan kejayaan itu sebagai kemenangan buat seluruh rakyat Malaysia, Michelle bagaimanapun sebak menceritakan tentang kesukaran yang dilaluinya untuk mencipta nama di pentas dunia.

“Setahun menanti tanpa mengetahui, hanya berharap, sehingga ke akhir tahun apabila peluang kami untuk dicalonkan mula diperkatakan.

“Terima kasih kerana bersama saya dalam perjalanan ini. Saya merasai sokongan anda sepanjang perjalanan yang sukar dan sunyi ini,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Ditanya tentang pengalamannya membesar di Malaysia, Michelle berkata, kejayaannya antara lain berpunca daripada peluang untuk membesar dengan kepelbagaian budaya, keindahan alam sekitar dan tahap pendidikan yang baik.

“Membesar dalam persekitaran ini menjadikan saya lebih terbuka.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kita berbeza. Itu keindahan dunia ini apabila perbezaan antara satu sama lain menjadikan kita kompleks dan dinamik,” ujarnya, lapor Astro AWANI.

Malah, Michelle turut menyeru kepada penggiat industri seni tempatan supaya mengambil peluang meraikan keunikan Malaysia dalam karya-karya yang boleh dinikmati pasaran global.

“Kita sering meletakkan diri dalam zon selesa dan hanya memikirkan tentang pasaran kita. Apabila kita menghasilkan filem, ia harus menjadi global.

“Kita perlu mencipta peluang dan platform untuk menonjolkan bakat yang ada. Saya ingin bekerjasama rapat dengan ketua-ketua studio di sini, serta mereka yang boleh membuat perubahan,” ujar Michelle.

Pada Mac lalu, Michelle mencipta sejarah memenangi Anugerah Akademi untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik untuk wataknya dalam Everything Everywhere All At Once.