DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan dilantik semula ke jawatan Menteri Besar Kedah sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang di negeri ini dalam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya, berkata Muhammad Sanusi juga akan menjadi wajah hadapan atau ‘poster boy’ parti itu pada PRN yang dijangka diadakan pada Julai depan.
“PAS Kedah ingin menegaskan bahawa Muhammad Sanusi Sanusi kekal menjadi ‘poster boy’ dalam PRN kelak dan beliau akan kekal menerajui pentadbiran Kedah jika terus diangkat dalam PRN.
“Insya Allah sokongan berterusan daripada rakyat Kedah akan menjadi pemangkin kepada kejayaan PN di negeri ini khususnya dan tidak mustahil, misi ini akan turut memberikan impak langsung kepada negeri lain yang ditadbir PH (Pakatan Harapan) seperti Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, berkata pihaknya yakin sokongan berterusan pengundi turut bakal memberi kesan di negeri dikuasai PH seperti di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, yakin ketegasan Muhammad Sanusi menegakkan kebenaran dilihat menjadi sebab mengapa tekanan politik berterusan diarahkan kepada Menteri Besar Kedah itu ketika ini.
Katanya, perkara itu berlaku kerana PH kini tidak mempunyai modal untuk menjatuhkan pengaruh PN yang mendapat dokongan kuat masyarakat Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“Oleh itu, langkah pembunuhan karakter terhadap Muhammad Sanusi dilaksanakan kerana beliau juga menjadi faktor penting kemenangan PN khususnya di Kedah.
“PAS Kedah yakin segala perjalanan pentadbiran dan pelaksanaan dasar negeri berada dalam landasan terbaik seiring dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035, malah hasrat ‘The Greater Kedah’ yang digagaskan beliau tidak mustahil akan direalisasikan kelak,” katanya.
Ahmad menegaskan, tekanan politik yang turut dihempapkan ke atas kerajaan negeri Kedah menunjukkan Kerajaan Persekutuan membelakangi semangat Madani dalam erti kata sebenar.
Katanya, ia juga menunjukkan wajah dan sikap federalisme tempang yang mengundurkan negara ke era politik lapuk.
“Bukankah berulang kali kita mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya mengekalkan profesionalisme dalam hubungan federalisme di antara Persekutuan dan Negeri?
“Malangnya, Kerajaan Persekutuan melaksanakan federalisme terpilih kerana dendam politik serta pembunuhan karakter terhadap Muhammad Sanusi,” katanya lapor Berita Harian.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.