Lelaki dipenjara sebulan,denda RM6,000 curi baju Melayu

0
103

SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana mencuri lima pasang baju melayu bernilai RM1,930, minggu lepas.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Saipullizan Mohd Yusop, 54, selepas dia mengaku bersalah mencuri baju Melayu jenama Pasha milik Kedai Haute & Gold Trendstop di ruang legar aras bawah, pusat beli-belah Avenue K, Jalan Ampang, di sini, antara 1 tengah hari dan 7 malam, 9 hingga 10 April lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya, hendaklah diseksa dengan penjara atau sebat.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 10 April lalu dan dipenjara sebulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, pada 9 April jam 1 tengah hari tertuduh pergi ke kawasan reruai di tempat kejadian dan telah mengambil tiga pasang baju Melayu dari rak jualan kemudian memasukkannya ke dalam beg plastik sebelum melarikan diri tanpa membuat sebarang bayaran ke atas baju tersebut.

Tertuduh kemudian menjual tiga pasang baju tersebut dan hasil jualan digunakan untuk membeli makanan dan bekalan dadah.

Keesokan harinya, pada 10 April jam 5.20 petang, tertuduh sekali lagi pergi ke reruai baju tersebut dan mengambil dua pasang baju Melayu menggunakan cara sama untuk dijual dan jam 7 malam pada hari sama, dia sekali lagi cuba mencuri baju Melayu di reruai sama namun berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Mohamad Saad memohon hukuman berat berbentuk pengajaran dan pencegahan terhadap tertuduh mengambil kira faktor kerugian dialami oleh pengadu (peniaga).

“Saya percaya tertuduh tidak menunjukkan tanda keinsafan kerana dia pergi ke tempat sama untuk mencuri sebanyak tiga kali sebelum berjaya ditangkap. Tertuduh juga bukanlah pesalah kali pertama kerana sebelum ini dia pernah dijatuhi hukuman atas kesalahan sama sebanyak dua kali pada 2017 dan 2014.

“Mohon mahkamah mempertimbangkan juga hukuman sebatan agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama di masa akan datang,” kata Nur Diana.

Peguam Nicholas Cheoh, yang mewakili Saipullizan memohon hukuman penjara minimum atas alasan anak guamnya menanggung isteri dan seorang anak selain pengakuan salahnya telah menjimatkan kos dan masa mahkamah.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here