Seorang lagi rentung dalam kebakaran rumah di Pulau Pinang

0
191

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG lagi individu ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran rumah di Pulau Pinang dengan kejadian terbaharu berlaku di Jalan Seri Bahari, George Town awal pagi ini membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.12 pagi itu, mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan rentung di kawasan bilik air di tingkat bawah rumah kedai terbabit.

Ini merupakan kejadian ketiga berturut-turut melibatkan mangsa yang ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di negeri ini selepas seorang kanak-kanak perempuan, G. Sri Laavanya maut dalam kebakaran rumahnya di Kampung Pisang, Air Itam, awal pagi Isnin lalu.

Dalam kejadian petang semalam pula, seorang wanita orang kurang upaya (OKU), Nuraida Hashim, 43, turut maut dalam kebakaran rumahnya di Kampung Alma, Bukit Mertajam.

Sementara itu, dalam kejadian awal pagi ini, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Mohd. Shafie Mohamad Safar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran kira-kira pukul 4.12 pagi ini sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Sebaik sahaja tiba, katanya, didapati berlaku kebakaran dengan anggaran kemusnahan 90 peratus di rumah kedai berkenaan.

”Kebakaran dapat dikawal pukul 4.43 pagi dan terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam bangunan.

”Kerja-kerja mengawal dan memadam api sepenuhnya masih dijalankan dan operasi turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here