PRN Pulau Pinang: PH akan pertahan kerusi, tidak beri kepada UMNO

0
135

SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) memaklumkan, gabungan itu tidak akan menyerahkan kerusi dimenanginya pada pilihan raya negeri (PRN) lalu di Pulau Pinang.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas seorang ketua UMNO bahagian mengakui parti itu mengintai sebuah kerusi di Permatang Pauh.

Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Permatang Pauh iaitu Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti.

Pada PRN lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi kerusi Seberang Jaya dan Penanti, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) menang di Permatang Pasir.

ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin berkata, perkara tersebut sudah diumumkan seorang pemimpin tertinggi PKR.

“Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan semua kerusi DUN yang kami menangi pada pilihan raya lalu akan kekal dengan kami,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

UMNO kini mempunyai dua kerusi DUN di Permatang Berangan dan Sungai Dua.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Zaidi Said berkata, parti itu mahu bertanding sebuah kerusi di kawasan Parlimen itu dan UMNO tidak patut dijangka hanya bertanding kerusi disandangnya.

ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, ia terpulang kepada parti penyandang untuk menentukan sama ada mereka mahu memberi laluan kepada calon UMNO.

“Jika calon UMNO boleh menang, maka permintaan (untuk kerusi itu) munasabah. Tambahan, kita akan mempunyai lebih ramai wakil Melayu dalam kerajaan negeri,” ujarnya.

Katanya, UMNO tidak patut hanya memfokuskan pengagihan kerusi, tetapi bekerja lebih keras meyakinkan penyokongnya untuk menyokong calon PH dan kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, pada pilihan raya di Padang Serai Disember lalu, Barisan Nasional tidak melakukan secukupnya untuk menggerakkan penyokongnya bagi menyokong calon PH, Sofee Razak, yang akhirnya kalah kepada calon Perikatan Nasional, Azman Nasrudin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here