PRN: Pas yakin mampu takluk tiga negeri – Dr. Halimah

0
144

PAS yakin mampu menakluki Kelantan, Terengganu dan Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berikutan gelombang sokongan Melayu dan anak muda yang berterusan bermula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan sehingga kini.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Halimah Ali berkata, gelombang berkenaan dilihat tidak surut kerana kumpulan itu mahukan perubahan pucuk pimpinan politik.

“Disebabkan keadaan politik semasa tidak stabil telah mendorong kumpulan tersebut untuk mula mengkaji tentang parti terbaik yang boleh menjadi kerajaan.

“Kami yakin semangat itu berterusan sehingga PRN akan datang dan berupaya untuk meraih undi majoriti di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Wacana Sinar bertajuk PRN: Signal untuk Putrajaya di Shah Alam hari ini.

Turut menjadi panel ialah Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat dan pemerhati politik, Iswardy Morni manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Halimah yang juga Ahli Parlimen Kapar berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai stigma kerana parti itu membawa konotasi fahaman Melayu dan Islam sahaja.

“Mungkin ada sesetengah ahli parti terlepas cakap sehingga memperlihatkan PN bersifat perkauman tetapi itu tidak benar dan jangan jadikan ia sebagai satu perkara umum.

“Untuk pengetahuan semua, dalam Pas ada satu dewan menghimpunkan pendukung parti yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bangsa. Mereka yang menyertai himpunan tersebut mempunyai kemahuan, keperluan dan harapan,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

Pada masa sama, beliau berkata, mustahil jika Pas membawa sentimen tersebut kerana di dalam buku perlembagaan parti ada menyebut tentang memupuk perpaduan kaum.

Ujar beliau, parti berkenaan mahu menyatupadukan dan membangunkan rakyat daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama agar kemakmuran dapat dikongsi bersama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here