Rugi dan membazir: Dilema pengusaha bufet Ramadan apabila tempahan merudum tahun ini

Pakej bufet Ramadan tahun ini semakin suram dengan ramai pengusaha restoran dan hotel masih belum mendapat tempahan penuh meskipun sudah masuk minggu kedua berpuasa.

Karim Shah, seorang pemilik restoran dan ketering di Putrajaya menyifatkan keadaan itu sangat berbeza dengan tahun lepas apabila sambutan pelanggan yang “luar biasa” menyaksikan tempahan penuh sepanjang Ramadan dibuat seminggu sebelum bermula.

Manakala pada tahun ini, tempahan awal yang diuar-uarkan bermula awal Mac lalu dengan tawaran harga yang rendah masih tidak mampu memenuhkan slot tempahan hariannya.

“Restoran kita boleh memuatkan sehingga 120 orang sekali gus.

“Tetapi sampai Ramadan ke-12, kita tengok hanya ada tiga meja sahaja ditempah,” katanya lapor MalaysiaNow.

Katanya, kadangkala satu meja ditempah hanya memuaskan dua pelanggan sahaja.

Selain merugikan perniagaan, Karim yang berasal dari Pakistan itu berkata dia tidak sanggup melihat makanan yang disediakan setiap hari dibazirkan begitu sahaja.

Pada hari biasa, dia menjalankan perniagaan masakan dari tanah Arab dan negara asalnya.

Bagaimanapun, pada bulan puasa dia sudah mengupah tukang masak khas yang akan menyediakan makanan tradisional orang Melayu dan Barat bagi hidangan 120 orang.

“Dengan kurang 10 orang sehari, bagaimana kita nak teruskan perniagaan? Membazir dan rugi.” 

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Malaysia Christina Toh turut mengakui trend yang sama berlaku pada bufet Ramadan di hotel-hotel seluruh negara. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata dari maklum balas ahli-ahli persatuan, terdapat kelemahan dan faktor yang menyumbang kepada situasi tersebut.

Menurut Toh, kemungkinan besar disebabkan masyarakat baru sahaja selepas tempoh panjang cuti sekolah dan mereka sudah berbelanja untuk bercuti dalam tempoh berkenaan. 

Ditambah pula dengan musim perayaan Aidilfitri yang semakin hampir, mereka mengandaikan pelanggan sudah mula berjimat dan tidak mahu mengeluarkan duit membayar hidangan bufet Ramadan di hotel. 

“Kita ingat masa tempahan awal itu ada orang beli tapi masa sampai bulan puasa, bila tengok bisnes pula kebanyakan hotel kurang dari tahun lepas,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurutnya lagi, ketika tempahan awal dibuka ramai pengusaha restoran hotel mendapat sambutan yang baik.

Bagaimanapun, ianya tidak mampu bertahan lama.

“Mungkin juga disebabkan tahun ini kos barang meningkat jadi harga jualan menjadi tinggi sedikit dari 10% hingga 25%.”