Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pecah cermin rumah bekas isteri, jurukimpal didenda RM3,000 -

Pecah cermin rumah bekas isteri, jurukimpal didenda RM3,000

SEORANG jurukimpal didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan memecahkan cermin pintu rumah bekas isterinya seperti yang tular menerusi laman sosial, minggu lepas.

Majistret S. Punitha turut memerintahkan Mohd Shariman Zul Kapri, 46, dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mohd Shariman didakwa melakukan perbuatan khianat itu iaitu memecahkan cermin pintu depan sebuah rumah sehingga pecah dengan menggunakan sebatang cangkul dan menyebabkan Salina Sidit, 45, kerugian lebih RM25.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Pinji Indah di sini kira-kira 9 pagi, 4 April lepas mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, G. Harbhajan Singh yang mewakili tertuduh merayu hukuman denda yang rendah atas alasan anak guamnya sudah menyesal dengan tindakannya.

Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, Mohd Shariman mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam badan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, kira-kira 6.15 petang, 5 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hosna Mohamad Zikri manakala tertuduh diwakili peguam sama.

Mahkamah membenarkan Mohd Shariman dijamin RM2,000 dan menetapkan 19 Jun depan bagi serahan laporan patologi.

— BERNAMA