Status GEG dipersoal selepas langkah nyahsenarai nikotin

0
263

STATUS dan dasar Penamat Generasi atau Generation End Game (GEG) terus dipersoal selepas tindakan Putrajaya mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan kawalan Akta Racun, menambah risiko lebih ramai anak muda terjebak aktiviti vape. 

Ketua Eksekutif Galen Center Azrul Mohd Khalib berkata kenyataan balas Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi soal jawab perdana menteri di Dewan Rakyat turut menunjukkan kerajaan merasakan tindakan mengharamkan vape atau rokok elektronik yang mengandungi nikotin sebagai tindakan yang drastik dan tak perlu diberi keutamaan.

“Memandangkan pada asasnya dasar GEG yang mengharamkan penggunaan rokok, vape dan e-rokok daripada generasi yang dilahirkan dari tahun 2007 dan seterusnya, adakah ini bermakna komponen GEG telah dialih keluar daripada RUU (Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022)” katanya, lapor MalaysiaNow.

Anwar dalam jawapan di Dewan Rakyat pada Selasa berkata sukar untuk kerajaan mengharamkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat.

Meskipun beliau memberi jaminan rang undang-undang GEG bagi mengharamkan tabiat itu tetap akan dibentangkan pada Mei, pakar dan kumpulan kesihatan berpandangan kenyataan tersebut seolah-olah memberi bayangan kerajaan tidak bersungguh melaksanakan usaha tersebut.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengesahkan pengecualian nikotin daripada Akta Racun 1952.

Keputusan berkenaan tetap dilaksanakan meskipun bertentangan dengan keputusan sebulat suara Lembaga Racun.

Sementara itu, pakar kesihatan awam Dr Zainal Ariffin Omar tidak menolak kenyataan Anwar tabiat merokok sukar dikawal memandangkan tiada satu negara pun yang berjaya mengharamkan produk tembakau kecuali di Bhutan pada tahun 2010. 

Ia menjadi negara pertama yang mengharamkan penjualan tembakau dan merokok do tempat awam. 

Bagaimanapun larangan itu hanya bertahan hanya sedekad lebih sehingga tercetusnya pandemik Covid-19 yang memaksa pembuat dasar bertukar haluan kepada menghalalkan penjualan tembakau dalam negara.

Bagaimanapun, kata Zainal, kerajaan perlu mengawal penggunaan rokok dan vape dari semua aspek bagi mengurangkan penagihan dan kemudaratannya.

Ini termasuk kawalan yang ketat termasuk mengenakan cukai untuk kurangkan penggunaan dan juga dana “sin – tax,”.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan langkah nyahsenarai nikotin itu sepatutnya dibuat selepas RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dibentang dan diluluskan.

“Sekarang kerajaan membuka ‘floodgates’ nikotin, vape dan sejenis dengannya.

“Dan semua pihak termasuk kanak-kanak boleh dapat dan guna yang akhirnya membawa kepada ketagihan nikotin,” katanya.

Beliau mengesyorkan kerajaan menangguhkan dahulu keputusan mengeluarkan nikotin daripada senarai Akta Racun sehingga RUU tersebut sudah diluluskan dan menjadi undang-undang.

Sebelum ini, penggunaan vape sering kali dikaitkan dengan alternatif untuk mengurangkan tabiat merokok. 

Meskipun rokok elektronik atau vape dianggap sebagai alternatif yang jauh lebih selamat daripada tembakau, ia terbukti berpotensi memudaratkan kesihatan. 

Laporan yang diterbitkan dalam American Journal of Preventive Medicine pada Disember 2021 mendapati penggunaan vape secara signifikan meningkatkan risiko seseorang mendapat penyakit paru-paru kronik seperti asma, bronkitis dan emfisema.

Jonathan Grigg, pengarang bersama dalam jurnal tersebut dan berkhidmat sebagai profesor di Jabatan Pediatrik dan Respiratori berkata vape sepatutnya hanya digunakan untuk membantu orang yang mahu berhenti merokok.

“Vape tidak boleh digunakan oleh kanak-kanak, orang muda atau bukan perokok.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here