Maut selepas kereta langgar belakang lori

0
219

SEORANG lelaki berusia 44 maut selepas kereta yang dipandunya melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 1.5 Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 4.19 pagi itu, mangsa, S. Vitra Stevan, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Israhanafi Ismail berkata, sebaik sahaja menerima laporan mengenai kemalangan berkenaan pihak bomba terus ke lokasi kejadian.

“Apabila bomba tiba di lokasi kejadian didapati kemalangan berlaku melibatkan sebuah kereta jenis Proton Waja melanggar belakang sebuah lori dan terdapat seorang mangsa pemandu kereta tersepit dibahagian pemandu.

”Komander Operasi membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan pukul 4.51 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

”Mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pukul 5.04 pagi,” katanya lapor Utusan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here