Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Mahkamah kekal kemenangan Yuneswaran di Segamat pada PRU15 -

Mahkamah kekal kemenangan Yuneswaran di Segamat pada PRU15

MAHKAMAH Pilihan Raya Muar mengekalkan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) R. Yuneswaran di Parlimen Segamat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Hakim Radzi Abdul Hamid menolak petisyen pilihan raya pesaing daripada Barisan Nasional (BN) M. Ramasamy yang mencabar kemenangan Yuneswaran.

Keputusan itu selepas mahkamah mendapati petisyen dikemukakan Ramasamy cacat dan tidak menepati keperluan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Yuneswaran menang di Segamat dengan majoriti 5,669 undi pada November tahun lalu.

Beliau mengalahkan Ramasamy, dan calon Perikatan Nasional (PN), P. Poobalan, selain calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Syed Hairoul Faizey.

Radzi mengarahkan Ramasamy membayar kos RM30,000 masing-masing kepada Yuneswaran dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam petisyennya, Ramasamy mendakwa Yuneswaran dan ejennya melanggar peraturan pilihan raya melibatkan bahan kempen.

Calon daripada MIC itu turut mendakwa Yuneswaran mengedarkan bungkusan makanan kepada pengundi ketika berkempen.

Peguam G. Manivanan, Adi Zulkarnain Zulkafli, dan Lau Yi Leong, mewakili Yuneswaran, manakala Shafee Abdullah mewakili Ramasamy.

Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd. Dom mewakili SPR.

Petisyen itu merupakan satu daripada 11 yang dikemukakan calon bagi mencabar keputusan PRU15, lapor FMT.