PERIKATAN Nasional (PN) akan membawa misi perjuangan Noorazlan Ismail ke Parlimen dengan harapan ia akan mendapat perhatian kerajaan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Hamzah Zainudin berkata, misi murni Noorazlan yang berjalan kaki dari Tol Skudai Johor ke Istana Negara bagi memperjuangkan supaya pengeluaran bersasar simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan perlu disokong semua pihak.
“Insya-Allah perjuangan murni saudara Noorazlan ini akan kami bawa ke Parlimen dan Perikatan Nasional akan terus bersuara hingga pengeluaran KWSP bersasar dibenarkan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Dalam hantaran itu Hamzah turut berkongsi video perbualannya bersama Noorazlan yang antara lain menyatakan alasan di sebalik misi berjalannya itu.
“Dalam menahan sebak, Noorazlan beritahu dia mengambil keputusan berjalan kaki dari Tol Skudai, Johor ke Istana Negara bagi memperjuangkan haknya agar dibenarkan pengeluaran simpanan KWSP demi anak-anaknya.
“Allahuakbar. Sedih dan sebak saya dengar luahan hati saudara Noorazlan. Dia benar-benar terdesak dan perlukan duit simpanan KWSP demi keluarganya,” ujar Hamzah.
Hamzah berkata, beliau juga telah meminta ADUN Bemban, Dr. Mohd Yadzil Yaakub membantu Noorazlan yang kini mengalami kesakitan di kaki akibat melecet teruk akibat perjalanan yang lama.
Sementara itu, Hamzah yang merupakan Ketua Pembangkang turut menyindir pihak tertentu yang telah banyak berubah selepas mendapat kuasa.
“Kami bukan seperti orang tu. Dulu kononnya dialah pejuang rakyat tetapi bila dah berkuasa suara hati rakyat sudah tak dipedulikan.
“Ketika dia susah, dia suruh rakyat turun ke jalanan tetapi apabila rakyat sedang susah hingga terpaksa berjalan kaki ratusan kilometer demi menuntut pengeluaran KWSP, dia boleh berlakon berlari-lari di Parlimen,” katanya. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.