Menang dulu PRN, siapa calon MB bukan keutamaan – PN Negeri Sembilan

0
117

PEMBAHAGIAN 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hampir muktamad.

Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, berkata pembahagian kerusi itu menggunakan formula adil dan boleh diterima oleh semua ahli gabungan.

“Dari segi peratusan pembahagian kerusi ini (dalam kalangan parti gabungan PN) belum dapat dipastikan lagi, cuma yang boleh saya sebut ialah pembahagian itu akan menggunakan formula yang boleh diterima semua pihak.

“Seperti ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baru-baru ini pun tak ada masalah dan bagi PRN begitu juga, tiada masalah.

“Pada dasarnya kita berbincang di peringkat negeri, cuma menunggu keputusan muktamad daripada Jawatankuasa Perundingan PN Pusat yang saya difahamkan akan ada mesyuarat membabitkan semua ketua parti di setiap negeri pada 8 April ini,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH Online.

Mengulas mengenai calon Menteri Besar sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan negeri pada PRN nanti, Rafiei berkata perkara itu akan diputuskan pucuk pimpinan PN.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, berkata pihaknya bersikap terbuka terhadap mana-mana calon yang dipilih dan ditetapkan kepemimpinan tertinggi parti.

“Soal calon MB (Menteri Besar) itu bukan keutamaan, yang penting kita (PN) nak menang dulu dan dapatkan sekurang-kurangnya 19 kerusi untuk memerintah Negeri Sembilan.

“Walaupun bukan mudah, kita yakin boleh capai dan insya Allah dengan kerjasama yang sedia wujud dalam kalangan parti komponen serta sokongan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu, Rafiei berkata, PAS akan menampilkan ramai pemimpin muda dan berwibawa sebagai calon PRN.

“Kita (PAS) telah senaraikan tiga calon bagi setiap kerusi DUN dan jawatankuasa perundingan kerusi akan meneliti serta memutuskan nama calon untuk bertanding,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, memaklumkan bahawa gabungan itu akan menampilkan calon ‘poster boy’ untuk menteri besar di Negeri Sembilan dan Selangor.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, ia antara strategi PN untuk merampas dua negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) itu pada PRN nanti.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan calon ‘poster boy’ itu sama ada daripada PAS, BERSATU atau GERAKAN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here