PAS mengalu-alukan penyertaan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa ke dalam parti itu seperti mana ahli-ahli politik lain yang akan turut mengikut jejak langkah berkenaan, kata Naib Presiden PAS ,Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Samsuri berkata PAS berbesar hati menerima tokoh terkemuka seperti Annuar, yang juga veteran Umno dan bekas menteri.
“Saya percaya mereka yang berpengalaman seperti Annuar dan lain-lain boleh memainkan peranan untuk mengukuhkan parti,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Serdang, Selangor, anjuran kerajaan Terengganu.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Annuar bersedia menyertai PAS bagi meneruskan karier politiknya selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU) lalu.
Menurut sumber bekas Setiausaha Agung Umno itu telah mengisi borang keahlian PAS dan pengumuman tersebut dijangkadibuat selepas Aidilfitri.
Annuar dipecat daripada Umno Disember tahun lalu. Sebelum itu dia disingkirkan daripada jawatannya sebagai setiausaha agung BN kerana dilihat cenderung kepada Bersatu.
Sementara itu, Samsuri berkara beberapa ahli politik yang kecewa dengan kepimpinan parti akan turut menyertai PAS tidak lama lagi. Bagaimanapun, dia enggan mengulas .
“Insya-Allah ada, tetapi tak boleh sebut nama lagi, ia tidak terhenti di situ saja,” katanya, lapor MalaysiaKini.
Dalam perkembangan lain, Samsuri, yang juga menteri besar Terengganu, berkata, kerajaan negeri telah menerima bayaran pendahuluan “royalti petroleum” tahunan daripada Putrajaya.
“Kami masih berbincang dengan kerajaan persekutuan, tetapi kami telah terima sedikit bayaran pendahuluan peruntukan itu beberapa hari lepas. Belum terima jumlah penuh,” katanya tanpanya menyatakan jumlahnya.
Pada Februari lalu, Samsuri berharap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan pembayaran geran khas, yang diberikan oleh kerajaan persekutuan sebagai ganti royalti.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kelantan dan Terengganu hanya berhak mendapat royalti jika minyak ditemui dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai mereka.
Timbalan menteri kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan wang ehsan bernilai RM1.69 bilion telah dibayar kepada Terengganu manakala Kelantan menerima RM344.60 juta pada 2022.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.