Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kes bunuh pekerja ladang: Dua suspek ditangkap di sempadan Indonesia -

Kes bunuh pekerja ladang: Dua suspek ditangkap di sempadan Indonesia

CUBAAN dua suspek kes bunuh seorang pekerja ladang di Lundu untuk melarikan diri gagal apabila ditahan di hadapan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Biawak, dekat Lundu, kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, kedua-dua suspek lelaki itu masing-masing berusia 24 dan 25 tahun.

“Mereka ditangkap oleh sepasukan polis di lokasi CIQ Biawak untuk siasatan lanjut.

“Polis turut merampas sebatang senjata yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa dalam kejadian terbabit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jelasnya, kes bunuh itu dilaporkan berlaku pada 10 Mac lalu di hadapan ladang Polima Sdn. Bhd. Lundu sekitar pukul 9.20 malam.

“Hasil siasatan mendapati, suspek bertindak agresif dengan menyerang mangsa yang merupakan seorang pekerja ladang berumur 25 tahun di bahagian kepala dan muka, sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Tegasnya, siasatan terperinci akan dijalankan dari pelbagai sudut.

“Hasil siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tujuan pertuduhan,” ujarnya, lapor Astro Awani.

Sebelum ini, seorang lelaki dari Kampung Senibong Lundu dijumpai mati dipercayai dibunuh di kawasan jalan raya di sebuah ladang sawit di Kuching.

Mangsa mengalami kesan koyak, lebam dan berdarah di bahagian muka dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan yang berlaku dengan orang luar yang masuk ke kawasan ladang.