Dakwaan PN hanya perjuang isu kaum, agama hanya stereotaip, pilih kasih media – Khairy

0
341

BEKAS Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin tidak bersetuju dengan persepsi bahawa Perikatan Nasional (PN) hanya menjurus kepada naratif kaum dan agama dalam peranan mereka sebagai pembangkang.

Khairy berkata dakwaan bahawa ahli Parlimen PN hanya berminat dengan “isu perkauman sempit” adalah stereotaip yang diperkuatkan oleh sikap pilih kasih media dalam mengetengahkan perbahasan di Dewan Rakyat. 

Sebaliknya, Khairy, yang pernah menjadi bintang meningkat naik UMNO dan dipecat daripada parti itu kerana mengkritik presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, percaya PN mempunyai ramai pemimpin berkebolehan yang membawa topik penting dan hujah berasaskan fakta.

Sehubungan itu katanya, gabungan itu perlu lebih mempromosikan pemimpinnya yang merupakan sebahagian daripada Kabinet bayangan yang diumumkan bulan lalu. 

“Saya percaya di sebelah PN malah di sebelah PH (Pakatan Harapan) pun, mesti ada perbahasan yang agak serius dan membina, yang tidak mendapat publisiti sebab dia tidak menyentuh isu yang sensitif.

“Jadi bila PN sebagai pembangkang bangkitkan isu yang ada kaitan dengan orang Melayu dan Islam, itu akan menjadi tajuk utama sebab itu benda yang ada nilai berita,” kata Khairy dalam episod terbaru rancangan “Keluar Sekejap”, menjawab pandangan mengatakan PN hanya berminat memainkan isu kaum dan agama untuk menyemarakkan sentimen Melayu.

Khairy berkata, berdasarkan pemerhatian beliau terhadap perbahasan di Dewan Rakyat menunjukkan ramai ahli Parlimen PN membangkitkan isu serius seperti pelaburan dan strategi ekonomi.

Beliau menjawab soalan hos bersamanya, bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan, yang mencadangkan ahli parlimen PN lebih berminat untuk menjadi juara dalam isu Melayu.

“Saya fikir pandangan anda tidak tepat. Senang untuk kita buat satu stereotaip, bahawa ini PN, dia ini akan cakap pasal agama dan kaum, tak ada isu lain. 

“Kalau kita lihat mendalam lagi, saya rasa mereka ada ahli Parlimen yang sangat berkaliber dan telah membuat kajian mengenai isu-isu lain,” kata Khairy lapor Malaysianow.

Namun, Khairy berkata PN mempunyai banyak perkara yang perlu diperbaiki dari segi penjenamaan, sambil menambah hanya sedikit sahaja usaha dibuat terhadap Kabinet bayangannya, yang disifatkannya sebagai yang pertama untuk Malaysia.

Bulan lalu, pengerusi PN Muhyiddin Yassin melancarkan Kabinet bayangannya, berkata ia mahu mengekalkan semak dan imbang untuk menjadi pembangkang yang berkesan.

Antara nama dalam Kabinet itu termasuk ahli Parlimen Putrajaya Datuk Radzi Jidin yang bertanggungjawab ke atas portfolio kewangan dan ekonomi, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagi hal ehwal dalam negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah (pendidikan), yang kesemuanya pernah berkhidmat sebagai menteri semasa PN menjadi sebahagian daripada dua kerajaan persekutuan sebelum pilihan raya umum tahun lalu.

Khairy berkata PH dan Barisan Nasional membentuk jawatankuasa semasa mereka menjadi pembangkang.

Tetapi beliau menyatakan bahawa Kabinet bayangan PN adalah yang paling hampir dengan sistem yang ada di United Kingdom, di mana seorang individu jelas dikenal pasti sebagai menteri bayangan.

“Kalau saya di pihak PN, saya akan naikkan imej menteri bayangan tersebut, supaya rakyat tahu siapa ‘shadow minister’,” katanya.

Beliau berkata, sewaktu sesi soal jawab perdana menteri di Dewan Rakyat harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh pembangkang untuk menunjukkan mereka boleh menawarkan kerajaan alternatif.

Khairy dalam pada itu tidak bersetuju dengan kritikan Shahril bahawa PN setakat ini bertindak sebagai reaksioner dalam peranannya, memetik serangan terhadap kerajaan berhubung lantikan politik, serta kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Putera Mahkota Mohammed bin Salman semasa lawatan rasminya ke Arab Saudi baru-baru ini.

Beliau berkata strategi PN sekarang dalam menyerang kerajaan berhubung isu-isu adalah berkesan untuk memainkan peranan semak dan imbang.

“Saya rasa buat masa ini cukup untuk mainkan peranan semak imbang, untuk menyerang isu-isu dan kembali kepada pengalaman mereka, kerana sebahagian besar daripada Kabinet bayangan adalah bekas menteri,” katanya.

“(Mereka) mengatakan bahawa benda yang dijanji belum dilaksanakan. Contohnya, Tuan Ibrahim Tuan Man banyak kali bangkitkan isu tebatan banjir di Parlimen, dan Takiyuddin banyak bangkitkan isu tadbir urus berkenaan KDN, undang-undang dan sebagainya.”

Sokongan bukan Melayu

Sementara itu, mengenai kekurangan sokongan pengundi bukan Melayu kepada PN, Khairy bersetuju ia boleh menimbulkan masalah dalam membentuk kerajaan Persekutuan, walaupun ia akan terus berkubu di beberapa negeri atau menawan lebih banyak negeri. 

Sambil menyatakan bahawa keupayaan parti komponen bukan Melayu PN, Gerakan, adalah “sangat-sangat minima”, Khairy berkata PN harus mencari jalan untuk menarik sokongan terhadap parti itu dari luar yang mempunyai rekod prestasi untuk menjuarai kaum selain Melayu.

Akan tetapi Khairy berkata walaupun sokongan bukan Melayu boleh memberi kelebihan kepada PN, hujah yang sama boleh dikatakan terhadap PH.

“Selagi PH juga tidak dapat lebih daripada 20% sokongan Melayu, mereka boleh tubuhkan kerajaan, tapi kerajaan yang sangat rapuh, dan mereka tak boleh tubuhkan kerajaan dengan sendiri. Itu hujah balasnya,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here