‘Badi Ketua Menteri Melaka’ masih berterusan

0
155

LANGKAH Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di pusat pentadbiran kerajaan, Kompleks Seri Negeri selaku ketua tertinggi kerajaan Melaka berakhir setelah beliau secara rasmi meletak jawatan Ketua Menteri ke-12, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu daripada UMNO itu akhirnya terpaksa akur dengan ketentuan partinya sendiri setelah beberapa kali ‘usaha’ menukar beliau dengan pemimpin lain berjaya dielakkan sebelum ini.

Sulaiman atau mesra disapa Tok Leman mula menjadi Ketua Menteri Melaka pada Mac 2020 yang bermakna beliau hanya mampu bertahan selama tiga tahun selepas kali kedua mengangkat sumpah jawatan itu pada November 2021, susulan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengunduran diri Sulaiman itu menjadikan beliau menjadi Ketua Menteri Melaka seterusnya yang terpaksa mengosongkan kedudukan secara ‘terpaksa’, ‘kontroversi’, ‘tidak bersedia’ dan pelbagai lagi pandangan pemerhati politik.

Sebelum ini, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam yang menjadi Ketua Menteri Melaka kesembilan juga tidak bernasib baik pada karier politiknya apabila tewas Pilihan Raya Umum setelah bertindak bertukar kerusi daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Parlimen.

Malah, pengunduran paling kontroversi sudah tentu melibatkan Ketua Menteri Melaka keenam iaitu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang menduduki jawatan itu sejak 1982 hingga 1994.

Selepas Mohd. Ali, Datuk Seri Ir. Idris Haron pula berdepan nasib sama, kerana walaupun berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Udang pada 2018, parti diketuainya di Melaka tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) sekali gus beliau hanya bergelar Ketua Menteri sepenggal.

‘Badi ketua menteri’ Idris disambung pula oleh Adly Zahari pada tahun 2020 meskipun beliau daripada parti berbeza apabila Adly yang satu-satunya bukan Ketua Menteri berasal dari UMNO setakat ini dijatuhkan pada 2 Mac tahun berkenaan.

Kekosongan yang terpaksa ditinggalkan Adly selepas mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri ke-11 pada Mei 2018 itu diteruskan pula oleh Sulaiman hari ini yang menerima nasib sama dengan ketua-ketua menteri sebelumnya.

Jawatan beliau hampir pasti akan digantikan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang merupakan nama sering menjadi spekulasi selepas PRN Melaka 2021 lalu.

Sekiranya Ab. Rauf direzekikan menjadi Ketua Menteri Melaka yang seterusnya esok, sudah pasti beliau hanya ada tempoh kurang tiga tahun sebelum PRN seterusnya perlu diadakan pada 2025.

Sama ada beliau mampu bertahan atau berdepan cabaran besar untuk mempertahankan Melaka di bawah cengkaman UMNO bagi penggal seterusnya, Ab. Rauf sudah tentu perlu bersedia pula dengan segala kemungkinan kerana beliau menyandang ‘badi’ seterusnya.

Maka benar seperti hikayat Hang Tuah dahulu yang diceritakan penderhakaan Hang Jebat kerana perbalahan dua wira Melaka itu menjadikan negeri itu kacau bilau sehingga tidak ada Sultan sampai ke hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here