KELUARGA seorang pelajar lelaki yang maut di Jordan dalam kemalangan jalan raya ketika perjalanan dari Mu’tah ke Amman dengan tujuan membeli kitab, reda apabila Muhamad Haziq Haikal, 23, menghadap penciptaNYA pada bulan Ramadan yang mulia ini.
Bapa arwah, Md. Noor Hussain, 63, berkata, pemergian anak bongsu kesayangan daripada enam beradik itu amat dirasai mereka sekeluarga.
Dia terkilan kerana hampir dua minggu tidak dapat berkomunikasi dengan arwah berikutan sibuk dengan pelbagai urusan selepas kediaman keluarga mereka dekat Tongkang Pechah di Batu Pahat, dilanda banjir awal bulan ini.
“Sudah hampir enam bulan arwah mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam jurusan Usuluddin di Fakulti Syariah di Universiti Mu’tah.
“Pengajiannya di Jordan selama dua tahun dan merancang untuk menamatkan pengajian terus tanpa pulang ke kampung dalam tempoh masa pengajian,” katanya.
Md. Noor berkata, arwah yang juga bekas penuntut Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) meninggal dunia dalam kemalangan kereta ketika dalam perjalanan membeli kitab bagi kegunaan peribadi pada Jumaat lalu iaitu hari kedua Ramadan.
Dia berkata, keluarganya reda kerana yakin Allah berikan kelebihan kepada arwah yang dikebumikan di tanah perkuburan Mu’tah, sebuah
lapangan peperangan yang mulia di antara sempadan Syria dan Jordan.
Katanya, mereka sekeluarga membenarkan jenazah anaknya itu disemadikan di Mu’tah pada keesokan hari (Sabtu lalu) selepas waktu Zohor (waktu Jordan) kerana bagi memastikan urusan terakhirnya berjalan lancar.
“Arwah adalah anak yang sangat baik dan soleh dan minat mendalami ilmu agama, dia pernah menjadi imam tarawih di sekitar Batu Pahat,
Pontian dan Johor Bahru, selain mendapat syahadah hafazan al-Quran di Melaka dan mensyahadahkan hafazan al-Quran pelajar di Sarawak.
“Dia anak yang ringan tulang, suka membantu ibu ayah di rumah, gemar membantu individu lain, aktif dalam khidmat masyarakat dan memiliki hubungan yang baik dengan rakan mahupun pensyarah.
“Malah dia juga gemar memasak dan menyediakan sajian berbuka puasa ketika bersama keluarga,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid hari ini.
Sementara itu, abang arwah, Muhamad Aizuddin, 36, yang juga Penolong Pendaftar MARSAH, menyifatkan adiknya seorang insan peramah yang sentiasa dirindui ahli keluarga.
“Memang kami terkilan tidak dapat mengurus pengebumiannya, namun mungkin ia sudah suratan takdir, apa pun kami bersyukur semua urusannya lancar.
“Hajat kami sekeluarga untuk melawat pusaranya di Jordan namun berikutan kekangan kewangan, kami masih mengumpul dana terutama kos pembelian tiket penerbangan ke sana.
“Kami berharap segala urusan dipermudahkan supaya hajat kami untuk menziarahi maqam (kubur) arwah dalam tempoh terdekat tercapai,” katanya.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada keluarga Allahyarham Muhamad Haziq boleh disalurkan ke akaun Bank Islam milik Muhamad Aizudin 01032020509946 atau hubungi 013-7019077.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.