Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEPASANG suami isteri di Kluang yang pertama kali makan ikan buntal mengalami pening kepala, sesak nafas dan menggigil pada Sabtu lalu.
Anaknya kemudian menghantar ibunya ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di Kluang pada pukul 3 petang.
Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kira-kira satu jam kemudian suami mangsa turut mengalami gejala sama.
“Pasangan berkenaan dibawa ke Jabatan Kecemasan HEBHK pada jam 5 petang, namun wanita berkenaan disahkan meninggal dunia pada 7 malam, manakala suaminya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HEBHK.
“Pasangan suami isteri itu mendapatkan bekalan ikan buntal dari penjual secara pra tempahan melalui Facebook (FB),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, selepas menerima ikan tersebut pada Sabtu lalu, mangsa menggoreng untuk hidangan tengah hari dan difahamkan adalah kali pertama pasangan itu menjamu masakan ikan buntal.
“Siasatan lanjut mendapati ikan berkenaan diperoleh dari nelayan di Endau sebelum diambil oleh pemborong untuk diproses di Batu Pahat,” katanya.
Katanya, penjual ikan buntal yang berasal dari Batu Pahat akan menghantar kepada pelanggan berdasarkan tempahan melalui Facebook.
“Sebanyak 15 kilogram ikan sudak dijual kepada masing-masing empat pelanggan di Chamek dan Paloh, dan seorang di Yong Peng pada hari itu.
“Selain pasangan terbabit, pelanggan lain belum memakan ikan buntal itu,” katanya.
Kata Tian Soon, Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Batu Pahat sudah mengambil sampel ikan itu daripada pelanggan yang dibeli dari penjual berkaitan untuk dihantar ke makmal bagi dianalisa.
Jelas beliau, sehingga kini tiada lagi pelaporan baru berkaitan dengan ikan buntal.
“Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati ketika memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko yang diketahui,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.