Program ‘Proklamasi Melayu’ dianjurkan secara talian

PROGRAM “Proklamasi Orang Melayu” yang dikatakan menampilkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad beralih secara dalam talian selepas dua tempat untuk acara itu menarik balik kebenaran menganjurkannya.

Penganjur program, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu dalam kenyataan berkata, kempen itu akan dilakukan secara berterusan agar sampai kepada semua orang Melayu yang cintakan negara.

Katanya, kempen itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang Melayu mengenai agenda perjuangan bangsa dan tanah air.

Dalam kenyataan itu turut terdapat kod QR untuk diimbas ke borang Google Docs yang mendakwa bahawa orang Melayu dipinggir dan dilucutkan kuasa politik.

“Orang Melayu tidak lagi boleh menentukan nasib mereka sekarang dan pada hari-hari akan datang. Ini disebabkan oleh kecuaian pemimpin Melayu sendiri,” menurut dokumen itu, lapor FMT.

Mahathir pada 19 Mac lalu menuduh kerajaan Anwar Ibrahim bersikap “diktator” selepas dua kali program itu dibatalkan.

Walaupun mengakui beliau tiada bukti siapa yang mengarahkan acara itu dibatalkan tetapi Mahathir yakin Anwar adalah dalangnya.

Mahathir juga mengkritik kerajaan kerana tidak membenarkan program itu berlangsung dan berkata, orang Melayu ada hak untuk berkumpul dan suara mereka didengari.

Penganjur sebelum ini dilaporkan berkata, Proklamasi Orang Melayu bukan bersifat politik tetapi hanya mahu membincangkan isu berkaitan komuniti Melayu.