Kementerian tubuh jawatankuasa kaji bukan Islam wajib kursus kahwin

0
150

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam proses menyediakan kertas cadangan bagi penubuhan jawatankuasa untuk mengkaji kebolehlaksanaan mewajibkan kursus praperkahwinan kepada pasangan bukan Islam.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata jawatankuasa itu akan mencadangkan program bersesuaian dan ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara, mengulas cadangan Senator Aknan Ehtook agar pasangan bukan Islam yang bakal berkahwin juga melalui kursus praperkahwinan bagi membekalkan ilmu kekeluargaan kepada mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai kekurangan pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di pusat penempatan sementara (PPS) ketika banjir, Aiman Athirah berkata jabatan itu sudah mengambil langkah bagi mengatasi isu berkenaan menerusi pemerkasaan komuniti.

“JKM telah mengambil inisiatif untuk memperkasakan komuniti dengan melantik ketua komuniti, ketua agensi tempatan, pengetua, guru-guru besar dan lain lain sukarelawan komuniti sebagai penyelia dan ahli jawatankuasa dan petugas di PPS yang diaktifkan semasa berlaku banjir besar.

“Melalui pendekatan pemerkasaan dan daya tahan masyarakat semasa bencana, ia akan membolehkan ketua-ketua komuniti membuka dan mengoperasikan PPS dengan pemantauan minima daripada kakitangan JKM,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here