Harga telur di Pulau Banggi cecah RM22 sepapan

HARGA telur mencecah RM21 hingga RM22 sepapan apabila dijual di kedai-kedai runcit di Kampung Karakit, Pulau Banggi, Kudat.

Bukan setakat telur, harga barang basah seperti ayam juga dijual pada harga yang lebih mahal iaitu sehingga RM19 sekilogram bagi sayap ayam.

Kos barangan yang mahal itu membuatkan pengusaha gerai makan, Sudirman Amat, 42, dan isterinya Malisa Omar, 32, terbeban.
Beliau berkata, mereka boleh mendapatkan bahan basah di Pekan Kudat namun, kos pengangkutan juga perlu diambil kira.

“Jadi, kami tiada pilihan selain terpaksa membeli barangan dengan harga yang jauh lebih lebih mahal di kedai runcit di pulau ini.

“Bayangkan tambang untuk seorang adalah RM46 untuk pergi dan balik dari Karakit ke Pekan Kudat. Jadi, cara untuk pusing modal jualan terpaksa turun ke tanah besar sebulan sekali bagi mendapatkan barang keperluan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Malisa, semasa mula-mula berpindah ke Karakit selepas berkahwin empat tahun lalu, musim perayaan antara masa yang paling sukar mendapatkan bahan basah seperti ayam dan daging.
“Setiap kali Hari Raya Aidilfitri, kedai-kedai runcit di kampung akan tutup selama dua hari. Keadaan itu menyebabkan sebahagian penduduk terputus bekalan ayam dan daging.

“Selagi kedai runcit di kampung tidak dibuka maka, juadah raya tidak akan terhidang atas meja,” katanya.

Jelas Malisa, bukan semua keluarga mampu untuk ke Pekan Kudat membeli barang-barang persiapan Aidilfitri, tambah-tambah lagi keluarga yang besar kerana kos pengangkutan sahaja boleh mencecah ratusan ringgit.

Pulau Banggi yang mempunyai kira-kira 30,000 orang penduduk hanya boleh diakses menggunakan feri dari pekan Kudat yang mengambil masa lebih sejam perjalanan.