Dewan rakyat bising, bertekak pasal UMNO

0
207

SESI petang Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mendakwa RSN Rayer (PH-Jelutong) menyebut Umno sebagai parti celaka yang dianggap sebagai penghinaan kepada orang Melayu dan orang Islam.

Ahmad Tarmizi ketika perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, perkara itu dinyatakan oleh Rayer sewaktu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, sebelum ini.

“Saya nak bertanya. Bagaimana kenyataan Adun Seri Delima lalu yang hari ini telah menjadi Ahli Parlimen Jelutong, satu ketika beliau telah menyatakan satu penghinaan.

“Beliau menyebut Umno parti celaka dan ketika itu, ia dianggap sebagai penghinaan kepada orang Melayu dan orang Islam,” katanya.

Rayer kemudian bangun sambil meminta agar Ahmad Tarmizi supaya menarik balik kenyataan dibuat dan memohon maaf kerana beliau didapati tidak bersalah apabila ia diputuskan di mahkamah.

Rayer turut berkata, peguamnya kes itu adalah Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo yang turut hadir di Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang mengendalikan mesyuarat meminta Ahmad Tarmizi untuk menarik balik kenyataan dibuatnya selepas menilai mengenai keputusan mahkamah itu.

Ahmad Tarmizi mengambil masa untuk melaksanakan hasrat Rayer walaupun didesak beberapa kali oleh Johari dengan hanya berkata ‘ok’.

Situasi kekecohan itu terus berlarutan apabila Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pula membangkitkan perkataan dikeluarkan oleh Rayer apabila mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) pernah berkata, Pas sebagai parti ajaran sesat.

Ayat itu dikeluarkan oleh Rayer ketika gilirannya sewaktu berbahas peringkat jawatankuasa bagi KDN.

Ahmad Fadhli menggesa agar Rayer menarik balik ayat itu kerana beliau menggunakan perkataan ‘masih’ menuduh Muhyiddin.

“Tadi saya terdengar Jelutong menyebut berbanding Pagoh yang ‘masih’ berpendirian bahawa Pas parti ajaran sesat. Macam mana Jelutong boleh tahu Pagoh masih berpendirian Pas parti ajaran sesat?

“Ini satu tuduhan 36 (12) mana-mana ahli mengeluarkan kenyataan di dewan,” ujarnya, lapor Harian Metro.

Ketegangan itu akhirnya reda selepas Rayer bersetuju untuk membetulkan semula ayat yang diungkapkannya.

“Saya akan rephrase (betulkan ayat),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here