PAKATAN Harapan (PH) dijangka berdepan dengan laluan getir untuk mempertahankan Selangor setelah mentadbir sejak 2008, apabila pengundi Melayu masih belum menunjukkan tanda-tanda berubah arah sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, kata penganalisis.
Mereka berkata, 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri paling kaya di Malaysia itu bakal menjadi medan pertempuran untuk dua blok utama politik negara, iaitu PH yang sudah bergabung dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun pembentukan kerajaan di peringkat pusat masih belum diterjemahkan di peringkat negeri mahupun akar umbi.
Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar berkata, kerjasama politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang masih belum dimuktamadkan antara PH dan BN.
Katanya, kedua-duanya saling berharap agar berlaku perpindahan bank undi antara satu sama lain.
“Dalam erti kata, BN akan mendapat sokongan pengundi bukan Melayu atas faktor mereka menyokong PH di kawasan yang ditandingi BN.
“Begitulah sebaliknya bagi kerusi PH pula mengharapkan undi Melayu kepada mereka.
“Walaupun keadaan ini masih awal untuk membuat ramalan tetapi pengundi Melayu memberikan gambaran bahawa pola sokongan kekal sepertimana PRU lalu,” katanya lapor MalaysiaNow.

PN berjaya mengambil beberapa kerusi Parlimen di Selangor yang sebelum ini disandang oleh BN dan PH, antaranya Tanjung Karang, Hulu Selangor dan Kapar.
Ini juga kali pertama PH akan turun dalam PRN Selangor tanpa parti Melayu yang signifikan sebagai rakan kongsi.
PKR dan DAP bekerjasama dengan PAS semasa dalam Pakatan Rakyat, dan bekerjasama dengan Bersatu untuk PRU14 pada 2018.
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Kartini Aboo Talib berkata, meskipun tiada rakan kongsi parti Melayu yang besar, PH dilihat masih berpeluang mengekalkan penguasaan di negeri itu.
“Keterbukaan di Selangor secara umum, akan memperlihatkan PH masih boleh menang selesa walau tanpa PAS dan Bersatu dalam gabungan PH,” katanya.
Bagaimanapun menurut Kartini, kerusi agihan kepada Umno tidak semestinya dalam jumlah yang banyak.
“Kalau pun diagih kepada Umno, ia tidak akan dijadikan alasan untuk Ahmad Zahid Hamidi mengugut atau minta lebih kerusi.
“Umno berada dalam keadaan paling lemah buat masa ini.”
Pemerhati politik veteran, Zin Mahmud berkata PN mempunyai peluang menambah kerusi DUN tapi sukar untuk menguasai Selangor kerana PH menguasai kawasan campuran.
Ketika ini, komposisi DUN terdiri daripada 42 kerusi PH, tujuh kerusi PN dan tiga kerusi Pejuang.
Lima kerusi milik BN sebelum ini di tempat pembangkang namun menyertai kerajaan selepas PRU15.
Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi sebelum ini berkata, PAS dan PN menyasarkan 37 kerusi DUN yang mempunyai lebih 55% jumlah pengundi Melayu.
Menurut Zin, PAS suatu ketika dahulu menang atas tambahan undi daripada penyokong PKR dan DAP.
“Begitu juga PKR dan DAP yang mendapat undi tambahan daripada penyokong PAS.”
Menurut Hisommudin, pengundi Melayu yang mengundi BN dan PN sukar untuk mengubah sokongan kepada PH.
Sebaliknya menurut Hisommudin, pengundi PH lebih terbuka untuk memberikan sokongan kepada BN.
Namun katanya pengundi bukan Melayu mungkin hilang keterujaan untuk keluar mengundi berbanding PRU15 lepas.
Menurut Hisommudin, pertambahan undi dari Jun 2022 hingga daftar pemilih yang mungkin diwartakan ialah Mac 2023 adalah signifikan bagi setiap lokaliti.
“Pengundi ini mungkin tidak mewakili pola yang sama dengan kumpulan yang telah mengundi dalam PRU lepas.
“Oleh itu, PN mempunyai kelebihan di kerusi-kerusi yang mempunyai komposisi Melayu di Selangor, dan PH dan BN perlu bekerja keras untuk menafikan gelombang PRU lepas tidak berulang lagi dalam PRN kali ini,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.