Tiada lagi monopoli Puspakom – Anthony Loke

0
131

SELEPAS pembayaran tol melalui Touch ‘n Go (TnG), kerajaan memecahkan pula monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebagai pemeriksa berkala kenderaan tunggal bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Perkhidmatan itu akan dibuka kepada pihak berkelayakan dan memenuhi syarat selepas konsesi semasa kepada Puspakom tamat tempoh pada 31 Ogos tahun depan.

“Proses pelawaan pihak-pihak yang berminat dalam perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor dijangka akan bermula selewat-lewatnya dalam suku pertama tahun 2024.

“Keputusan tersebut adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perkhidmatan yang berdaya saing serta memudahkan seluruh rakyat Malaysia,” kata menteri pengangkutan, Anthony Loke dalam kenyataan.

Idea berkaitan penamatan monopoli itu dikatakan telah dibincangkan selewat-lewat pada tahun 2015 lagi. Syarikat-syarikat kerajaan dilapor berpotensi mendapatkan kontrak itu. 

Media kewangan The Edge melaporkan antara nama-nama yang disebut ketika itu, termasuk Kumpulan Naza group yang dimilik oleh keluarga SM Nasimuddin SM Amin serta Sime Darby Bhd serta UMW Holdings Bhd. 

Dua entiti terakhir itu dimiliki oleh syarikat kerajaan Permodalan Nasional Bhd.

Sementara itu, Loke berkata bagi melaksanakan ketetapan terbabit MOT bersama JPJ akan membangunkan beberapa syarat.

“Ia seperti syarat-syarat kelayakan, peraturan pengoperasian, skop perkhidmatan, penetapan lokasi pemeriksaan dan garis panduan bagi pihak-pihak lain yang berminat menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor,” katanya.

“Bagi memastikan keseragaman peraturan dan keadilan dalam aspek persaingan, mana-mana pihak yang berminat menyediakan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor akan diwajibkan untuk memenuhi semua syarat dan peraturan sama yang telah dikenakan kepada Puspakom bawah perjanjian konsesi.

“Ini termasuklah kewajiban melantik pekerja yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan sahaja, menyedia dan menggunakan peralatan pemeriksaan berkomputer yang dikawal selia dan diluluskan oleh JPJ.

“Selain itu, menyediakan perkhidmatan dengan mematuhi skop, standard dan prosedur pemeriksaan motor yang ditetapkan sepenuhnya, hanya boleh mengenakan kadar fi pemeriksaan yang telah ditetapkan sahaja dan tidak dibenarkan sama sekali menawarkan perkhidmatan pembaikan,” katanya.

Menurut Loke, pihak JPJ juga akan secara berterusan mengaudit dan memantau semua pihak yang menyediakan perkhidmatan tersebut bagi memastikan pematuhan, kualiti dan integriti pemeriksaan.

“Mana-mana pihak yang didapati melanggar apa-apa syarat ditetapkan boleh dikenakan penalti atau dibatalkan kebenaran menjalankan pemeriksaan terlibat.

“MOT juga akan memastikan bahawa pembukaan pemeriksaan berkala kepada pihak-pihak lain tidak menyumbang kepada elemen persaingan tidak sihat serta membawa kesan negatif kepada penyediaan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bawah Akta 333,” tegasnya.

Sebelum ini, kerajaan telah memulakan usaha untuk memecahkan monopoli Touch N Go dalam pembayaran tol. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengakui tiada perkembangan atau kemajuan yang meyakinkan dengan sistem itu walaupun telah diguna pakai kira-kira dua dekad.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here