Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Sindiket pecah rumah sasar kondominium, pangsapuri di tiga negeri tumpas -

Sindiket pecah rumah sasar kondominium, pangsapuri di tiga negeri tumpas

SINDIKET pecah rumah yang menyasarkan kondominium dan pangsapuri di Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur berjaya ditumpaskan dengan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita secara berasingan di luar Melaka pada 14 dan 22 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dua lelaki daripada kesemua suspek berusia 34 hingga 51 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur pada 14 Mac manakala masing-masing seorang suspek wanita dan lelaki ditahan di Selangor pada 22 Mac.

Beliau berkata penahanan kesemua suspek berkenaan susulan jenayah pecah rumah yang dilakukan sindiket itu di sebuah kondominium Klebang, Melaka pada 2 Mac lepas, membabitkan kerugian wang tunai dan barang kemas yang dianggarkan berjumlah RM50,000. 

“Susulan kejadian pecah kondominium itu, anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka telah menjalankan siasatan dan risikan sehingga berjaya menjejaki penjenayah terlibat.

“Hasil tangkapan, polis berjaya merampas pelbagai barangan berjenama mewah antaranya jam tangan, beg tangan, beg duit, telefon bimbit, dua kenderaan, peralatan pecah rumah serta pakaian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai terlibat dalam lapan kes jenayah pecah rumah di Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya kesemua suspek berkenaan ditahan reman sehingga 27 dan 29 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA