Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Orang Islam di Johor boleh lawat rumah ibadat agama lain- Sultan Ibrahim -

Orang Islam di Johor boleh lawat rumah ibadat agama lain- Sultan Ibrahim

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, orang Islam di negeri itu boleh melawat rumah ibadat agama lain selagi mereka tidak terbabit dalam sebarang upacara dan sembahyang.

“Ini adalah jelas dan saya percaya pada orang Islam kerana kepercayaan mereka kukuh dan tidak goyah. Saya tidak mahu terus memanjangkan isu ini. Tidak perlu lagi sebarang polemik isu ini,” titahnya dalam satu wawancara bersama The Star.

Sultan Ibrahim bertitah, tiada sebarang isu mengenai keharmonian agama di negeri itu kerana semua rakyat menerima konsep Bangsa Johor yang mempromosikan kepelbagaian bangsa dan agama serta toleransi, perpaduan dan persefahaman.

“Inilah yang dilakukan di Johor. Kami menghormati orang bukan Islam dan mereka juga menghormati orang Islam,” titahnya.

Semalam, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, melawat rumah ibadat agama lain bukan satu masalah di negeri itu kerana kebanyakan penduduknya termasuk beliau sendiri belajar di sekolah mubaligh.

Katanya, melawat gereja atau kuil tidak menyebabkan seseorang itu ‘kurang Islam’ dan juga tidak menyebabkan kepercayaan mereka berubah.

Karim mengulas kecaman terhadap Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, ekoran pembabitan kementerian dalam program Jom Ziarah Gereja.

Dalam perkembangan berasingan, Sultan Ibrahim bertitah, baginda dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bekerja dengan baik.

“Saya boleh kata (hubungan kerja) lebih baik berbanding mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

“Kami berbincang antara satu sama lain dan bertukar-tukar pendapat bagaimana kami boleh membangunkan negeri ini dengan lebih baik,” titahnya.