Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lelaki bergelut di IPD Besut buat provokasi terhadap polis - KPD -

Lelaki bergelut di IPD Besut buat provokasi terhadap polis – KPD

POLIS menahan seorang penghantar makanan yang bergelut dengan anggota polis berpakaian seragam selepas lelaki itu membuat provokasi serta melibas cota dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di Jertih, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Azrol Anuar Nor berkata insiden pergelutan itu dipercayai telah dirakam oleh orang awam, sebelum video rakaman itu didapati tular di laman TikTok, hingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Beliau berkata kejadian berlaku selepas lelaki dengan pakaian seragam penghantar makanan itu mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan dan membuat provokasi, di samping melibas cota terhadap anggota polis yang sedang bertugas di pos pengawal IPD Besut.

“Kami ingin menegaskan bahawa sepanjang melaksanakan tangkapan, kekerasan paling minimum yang mungkin terpaksa digunakan, dan dalam kejadian itu seorang anggota polis mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya saringan air kencing mendapati suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental itu negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata berbahaya 1958. – Bernama