Simpanan KWSP sokong permohonan bank idea ‘dangkal’, Bersatu bidas kerajaan

0
155

BERSATU membidas cadangan kerajaan membenarkan pencarum KWSP menggunakan simpanan Akaun 2 mereka untuk menyokong permohonan pinjaman, dengan menyifatkannya sebagai “dangkal”.

Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris, berkata cadangan itu membuktikan kerajaan tidak kompeten kerana tidak memikirkan kesan negatif bakal berlaku.

“Jika ramai yang membuat pinjaman menggunakan Akaun 2 sebagai sandaran dan tidak mampu membayar pinjaman itu, dan bank hanya boleh mengambil tindakan hanya selepas simpanan KWSP itu matang untuk dikeluarkan.

“Ia bakal menyebabkan krisis perbankan yang sangat kritikal,” katanya dalam kenyataan.

Razali berkata, mereka yang berdepan masalah kewangan kini tidak mampu untuk membayar pertambahan hutang dan ramai yang mengadu Akaun 2 sudah digunakan untuk membayar pinjaman rumah.

Katanya, pembangkang bersedia untuk bersama kerajaan mencari “penyelesaian yang logik”.

“Kita boleh turut menjemput individu dan NGO yang memperjuangkan pengeluaran KWSP bersasar ini untuk duduk bersama,” katanya lapor FMT.

Semalam, Kementerian Kewangan menjelaskan simpanan KWSP boleh digunakan untuk menyokong permohonan pinjaman.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan simpanan persaraan itu boleh digunakan sebagai cagaran pinjaman.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, kerajaan sedang memuktamadkan inisiatif untuk membenarkan ahli KWSP menggunakan simpanan dalam Akaun 2 sebagai sandaran bagi mendapat pembiayaan institusi perbankan.

Katanya, inisiatif itu tidak akan membebankan rakyat kerana kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (Islam) yang dikenakan bank yang terlibat dalam inisiatif ini dijangka antara 4% hingga 5%.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here