Mohammad Ab Rahman dilantik Panglima Tentera Darat ke-29

0
400

TIMBALAN Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-29 berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Panglima Tentera Darat ke-28 Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain yang mula bercuti esok sebelum menamatkan perkhidmatan pada 21 Sept ini setelah hampir 43 tahun berkhidmat.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas jawatan nombor satu dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) itu disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Auditorium Wisma Pertahanan, di ibu negara, hari ini.

Terdahulu, Mohammad yang berpangkat leftenan jeneral telah dinaikkan pangkat kepada jeneral bagi menjawat tampuk pimpinan tertinggi TDM.

Mohammad yang dilahirkan pada 15 Mac 1964 di Machang, Kelantan telah berkhidmat lebih 35 tahun selepas ditauliahkan sebagai pegawai muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1 Julai 1987.

Beliau merupakan lepasan Maktab Tentera Diraja Cawangan Putra pada 1980 sebelum meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di University Of North Carolina di Charlotte, Amerika Syarikat.

Sepanjang perkhidmatan dalam TDM, Mohammad telah memegang beberapa jawatan penting seperti Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD), Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Briged), Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Panglima Latihan Tentera Darat dan Panglima Medan Barat Tentera Darat.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Udara Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here