Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lelaki pukul warga emas selepas kemalangan ditahan -

Lelaki pukul warga emas selepas kemalangan ditahan

POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes mendatangkan kecederaan dan ugutan terhadap seorang lelaki warga emas dalam satu kejadian di sekitar Ampang,  semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, suspek yang menaiki kereta jenis Mercedes berwarna putih melanggar bahagian belakang kereta dipandu seorang doktor berusia 67 tahun di lampu isyarat Jalan Kolam Air Lama.

“Apabila tiba di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran, kereta mangsa dihalang dari arah hadapan oleh kereta suspek yang kemudian turun dan membuka pintu kereta doktor berkenaan.

“Suspek kemudian menumbuk pipi kanan selain menarik rambut dan menyepak mangsa di bahagian pinggang menyebabkan dia berasa sakit. Kejadian itu dirakam pengguna jalan raya sehingga tular dalam media sosial, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata suspek berumur 27 tahun ditahan pada 9.45 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya setelah hadir memberi keterangan.

“Suspek memukul mangsa kerana tidak berpuas hati selepas arahannya supaya memberhentikan kenderaan tidak diendahkan mangsa setelah kenderaan mereka berlanggar,” katanya dan menambah permohonan reman akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing ke atasnya negatif.

— BERNAMA