PENCERAMAH bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dibenarkan pulang selepas dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan sejak Selasa lalu.
Jurucakap Pertubuhan Fisabilillah Terengganu (Fisabilillah) berkata, beliau dibenarkan pulang selepas keadaan kesihatannya semakin pulih, petang semalam.
“Sudah dibenarkan pulang semalam tetapi tidak pasti jam berapa,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH Online.
Katanya, perkembangan itu dikongsikan oleh isteri penceramah itu, Rogayah Sulong menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menerusi hantaran itu, wanita berkenaan turut mengucapkan terima kasih kepada kru dan semua yang mendoakan Azhar sembuh seperti sediakala agar dapat meneruskan dakwah seperti biasa.
Difahamkan, buat masa ini, segala aktiviti keagamaan yang membabitkan UAI ditangguhkan sementara sehingga satu waktu yang akan ditentukan kelak.
UAI yang juga penaung Fisabilillah dimasukkan ke HSNZ pada tengah hari Selasa lalu kerana batuk dan lelah.
Menurutnya, disebabkan batuk yang dialaminya berterusan sehingga dikatakan mengganggu keselesaan ketika menyampaikan kuliah, beliau kemudian ke hospital bagi melakukan pemeriksaan sebelum dimasukkan ke wad.
“Saya tidak pasti sama ada UAI menghidap masalah paru-paru dan penyakit lain.
“Sama ada betul atau tidak hanya keluarga terdekat sahaja yang tahu.
“Tetapi menurut isteri dan anaknya, UAI dimasukkan ke hospital kerana batuk dan lelah,” katanya.
Perkembangan mengenai penceramah bebas itu turut dikongsikan beberapa pemimpin negeri dan di media sosial.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.