Nelayan dikhuatiri lemas ketika uji bot

0
149

SEORANG nelayan dikhuatiri lemas ketika menguji bot gentian kaca berhampiran jeti pengkalan bot Kampung Baru Penarik, di Setiu, malam tadi.

Mahamad Harun, 63, yang menetap di kampung itu tidak pulang ke rumah selepas turun ke sungai untuk menguji bot gentian kaca pada pukul 7 malam.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada isteri mangsa yang memaklumkan suaminya tidak pulang ke rumah dan dikhuatiri lemas.

“Pihak polis menerima maklumat daripada seorang saksi yang juga penduduk kampung menyatakan melihat mangsa menghala ke Kampung Mangkuk sambil membuang air dari dalam bot.

“Hasil pencarian yang dilakukan penduduk kampung menemui bot di kawasan paya bakau kira-kira 650 meter dari jeti dan mendapati mangsa tiada dalam bot,” katanya ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung bermula malam tadi.

Afandi berkata, seorang saksi yang melihat mangsa dari jarak 100 meter menyatakan botnya berpusing dan menuju ke seberang sungai.

“Saksi tidak mengesyaki bot mangsa bermasalah dan saksi terus balik ke rumah memandangkan cuaca hampir gelap,” katanya.

Afandi berkata, pihaknya juga mendapatkan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba bagi mengesan mangsa.

“Usaha dan menyelamat giat dilakukan dengan fokus pencarian terarah ke arah muara.

“Saya menasihatkan nelayan supaya mengutamakan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan apabila mahu menjalankan aktiviti sama ada di sungai atau laut,” katanya, lapor Harian Metro.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here