Dakwa fitnah Muhyiddin, 22 ketua Bersatu lapor polis terhadap Anwar, Zahid

0
218

SEBANYAK 22 ketua bahagian Bersatu di Selangor membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Laporan itu dibuat selepas Bersatu mendakwa Anwar dan Zahid memfitnah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari yang mengetuai laporan polis itu mendakwa, Anwar dan Zahid serta sekutunya cuba menjatuhkan kepimpinan PN dan Bersatu menjelang PRN enam negeri.

Dakwanya, Anwar dan Zahid lebih mendahului kuasa pihak berkuasa apabila menuduh Muhyiddin menyeleweng wang kerajaan berjumlah RM600 bilion dan kini angka itu berubah kepada RM300 juta.

“Bagi melumpuhkan kekuatan politik gabungan PN menghadapi PRN, mereka (Anwar dan Zahid) melemparkan fitnah.

“Ini termasuk membekukan akaun bank Bersatu, mendakwa serta mengheret kepimpinan parti ke mahkamah. Kita perlu berhati-hati sebelum membuat apa-apa kenyataan sebagai seorang perdana menteri,” katanya di luar IPD Shah Alam.

Katanya, ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri, beliau difitnah menyeleweng dana RM600 bilion.

“Angka itu kemudian diturunkan kepada RM530 bilion…kemudian turun lagi kepada RM92.5 bilion kepada RM4.5 bilion dan akhirnya RM300 juta.

“Apabila membuat kenyataan mengenai sesuatu perkara besar melibatkan rasuah dan sebagainya, mestilah mendapatkan atau menyediakan fakta terperinci sebelum membuat apa-apa kenyataan,” katanya lapor FMT.

Beliau turut memaklumkan, laporan polis itu dibuat secara berasingan oleh ketua bahagian Bersatu di seluruh Selangor hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here