Situasi di Johor makin pulih, banjir surut sepenuhnya di Tangkak

0
217

SITUASI banjir di negeri Johor dilihat semakin baik setelah daerah Tangkak menjadi daerah terkini pulih sepenuhnya daripada bencana berkenaan.

Susulan itu, jumlah mangsa banjir semakin menurun kepada 29,063 orang mangsa setakat jam 4 petang ini berbanding 31,680 orang yang direkodkan pada 8 pagi tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), hanya dua daerah masih terlibat dengan banjir iaitu Batu Pahat dan Segamat membabitkan 99 buah pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi.

“Batu Pahat masih menjadi daerah yang paling terjejas dengan 29,019 orang daripada 8,208 keluarga diikuti Segamat dengan 49 orang daripada 15 keluarga,” menurut kenyataan yang dikeluarkan JPBN.

Dalam masa yang sama Seketariat Pengurusan Bencana Daerah Batu Pahat, memaklumkan lebih ramai mangsa banjir yang akan pulang ke kediaman masing-masing setelah keadaan banjir dilihat semakin surut.

Melalui tinjauan yang dilakukan oleh Bernama, ramai mangsa banjir dibantu oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membersihkan kawasan terjejas termasuk kediaman penduduk.

Cuaca di kesemua 10 daerah di negeri ini diramalkan cerah pada petang ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here