Dua lelaki ditahan terlibat samun berkumpulan di Iskandar Puteri

0
147

TIDAK sampai 24 jam, dua lelaki berjaya ditahan dipercayai terlibat dalam kejadian samun berkumpulan di hadapan lobi sebuah bangunan kondominium, Puteri Harbour, dekat Iskandar Puteri, empat hari lepas.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua warga tempatan itu dipercayai terlibat dalam satu kejadian samun melibatkan seorang lelaki pada 9.45 pagi, hari sama.

Beliau berkata suspek berusia 40 dan 45 tahun itu ditahan di sekitar Iskandar Puteri masing-masing pada 10.15 pagi dan 9 malam, pada hari yang sama. 

Polis turut merampas wang tunai RM10,000 dan parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, kata Rahmat dalam kenyataan hari ini.

“Kedua-dua lelaki yang ditahan mengaku terlibat dalam kes itu dengan melanggar kereta seorang lelaki dan mencederakan mangsa dengan parang.

“Siasatan masih diteruskan untuk mencari tiga lagi individu dipercayai masih bebas,” katanya.

Seorang daripada suspek ditahan mempunyai rekod jenayah lampau samun dan kedua-dua suspek direman mulai semalam hingga 18 Mac ini.

Rahmat berkata mangsa yang bekerja sebagai peniaga dalam talian, mengalami kecederaan di kepala selepas ditetak dalam kejadian itu, bagaimanapun stabil dan telah dibenarkan pulang daripada sebuah hospital swasta.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (Rompakan Berkumpulan).

Rahmat berkata orang ramai yang menyaksikan kejadian itu dikehendaki tampil ke Ibu Pejabat Iskandar Puteri bagi membantu siasatan. 

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi lebih dua minit memaparkan tiga lelaki bersenjatakan parang menyerbu sebuah kereta dengan dua kereta lain menghalang hadapan dan di belakang kereta tersebut.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here