Jangan ulang silap lama lantik ahli politik dalam GLC – Pakar ekonomi

0
198

KEPUTUSAN kerajaan melantik ahli politik mengetuai badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan dipersoalkan pakar ekonomi, Ramon Navaratnam.

Beliau menegaskan, pelantikan ahli politik itu seperti mengulangi kesilapan lama.

“Tidak adakah pemimpin profesional yang bukan ahli politik?” tanya Ramon Navaratnam, bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan dan bekas presiden Transparency International Malaysia, lapor Free Malaysia Today.

Beliau mengulas mengenai pelantikan bekas ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai pengerusi Mara, dan Timbalan Ketua PKR Pulau Pinang Bakhtiar Wan Chik sebagai pengerusi MyCreative Ventures baru-baru ini.

Navaratnam berkata, pelantikan itu tidak konsisten dengan amalan tadbir urus yang baik.

“Berbanding menuju ke arah meningkatkan profesionalisme, kerajaan mengulangi kesilapan lama,” katanya kepada FMT.

“Ini memberikan gambaran bahawa (kerajaan) menawarkan ganjaran dan pekerjaan kepada ahli parti.”

Kumpulan reformasi pilihan raya Bersih turut mengkritik pelantikan ahli politik kerajaan ke dalam GLC.

Pengerusinya, Thomas Fann baru-baru ini berkata, amat dikesali Perdana Menteri Anwar Ibrahim membenarkan pelantikan sedemikian selepas berkempen atas platform reformis.

Selama bertahun-tahun, aktivis dan NGO menggesa agar pelantikan dalam GLC dibuat berdasarkan merit.

Seorang lagi pakar ekonomi, Edmund Terence Gomez berkata, beliau percaya pelantikan itu bertujuan menarik minat pengundi Bumiputera menjelang enam PRN yang mesti diadakan tahun ini.

“Dengan PRN belum selesai di enam negeri, pelantikan-pelantikan ini terutamanya menimbulkan kebimbangan,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, Mara mempunyai kepentingan yang meluas dalam perniagaan dan pendidikan, dan pengerusinya boleh mempunyai pengaruh yang besar ke atas institusi dalam konglomerat itu. Ini boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya, katanya.

Beliau bertanya bagaimana kerajaan akan memastikan Mara tidak dieksploitasi untuk kepentingan Umno, memandangkan Asyraf adalah pengerusi Mara dan badan itu berada bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, yang diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Gomez menggesa kerajaan memberikan justifikasi bagi pelantikan dua ahli politik itu.

Katanya, wujud keperluan bagi keseluruhan ekosistem GLC dikaji semula dengan tujuan membaharui syarikat-syarikat tersebut demi kepentingan Malaysia dan selaras dengan matlamat penubuhannya.

“Kita juga memerlukan suruhanjaya bebas untuk memantau perjalanan ekosistem GLC yang luas di Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here