PN cadang penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur Menangani Banjir di Johor

0
157

PERIKATAN Nasional (PN) Johor menyelar kerajaan yang didakwa lambat bertindak dalam mencari jalan menyelesaikan masalah banjir di negeri berkenaan.

Walaupun jumlah mangsa banjir di Johor semakin berkurangan setakat pukul 8 malam ini apabila 37,503 orang daripada 10,625 keluarga ditempatkan di 119 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri, tidak banyak perkembangan positif kerana paras air lambat surut malah di sesetengah tempat air masih bertakung.

Melihat perkembangan tersebut, PN Johor menggesa kerajaan negeri segera menangani masalah berkenaan untuk jangka masa panjang termasuk persediaan ancaman fenomena limpahan air ke kawasan tanah rendah menjelang tahun 2050.

Berikut adalah kenyataan media daripada Naib Pengerusi PN Johor, Mohd Solihan Badri;

Perikatan Nasional (PN) mendesak kerajaan menubuhkan segera jawatankuasa khas merancang dan melaksanakan pembangunan infrastruktur menangani bencana banjir semasa sekali gus menyelamatkan penduduk Johor daripada ancaman fenomena limpahan air laut ke zon tanah rendah di seluruh negeri menjelang 2050.

PN mahu supaya Pelan Pembangunan Infrastruktur Menangani Banjir di Johor 2023-2050 digubal secara holistik, inklusif dan komprehensif kerana bencana banjir di negeri semakin memburuk saban tahun susulan faktor perubahan iklim global termasuk kadar hujan yang ekstrem.

Untuk jangka panjang, pelan ini amat penting bagi menyelamatkan seluruh penduduk serta kepentingan kegiatan sosioekonomi daripada ancaman fenomena peningkatan paras air laut kerana rata-rata kawasan penempatan di Johor terletak di kawasan rendah.

Pelan ini juga mesti selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 dan matlamat pelan induk kerajaan negeri bagi mengelak percanggahan atau pertindihan inisiatif.

Dilaksana menerusi konsep Inisiatif Pembiayaan Swasta

Sebahagian projek tersebut boleh dilaksanakan menerusi konsep Inisiatif Pembiayaan Swasta (Privite Finance Initiative – PFI) supaya kerajaan tidak terbeban dengan kos keseluruhan pelaksanan projek mega tersebut.

PN amat bimbang mengenai keselamatan dan masa depan Bangsa Johor berikutan sikap kerajaan yang tidak peka dengan laporan pakar mengenai ancaman fenomena air laut bakal melanda Johor dan seluruh Semenanjung dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Justeru, PN hendak bertanya apa maklum balas Kerajaan Negeri dan Persekutuan apabila Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor semalam membuat kenyataan supaya langkah segera diambil menangani banjir di Johor sehingga menyebabkan kerugian harta benda bahkan kehilangan nyawa penduduk saban tahun.

Bagi melancarkan penggubalan dan pelaksanaan pelan tersebut, PN mencadangkan Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur Menangani Banjir di Johor ditubuhkan dengan membariskan wakil agensi Kerajaan Negeri Johor dan Persekutuan serta wakil parti pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya ada semak dan imbang dalam pelaksanaannya.

Pelan tersebut antara lain melibatkan projek membina tambakan dan tebatan banjir serta empangan pelbagai guna selain mendalamkan dasar sungai, menyelamatkan kawasan tanah rendah serta mengoptimumkan potensi sumber di kawasan terlibat.

Sekretariat jawatankuasa ini boleh diletakkan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dipengerusikan Exco Kerajaan Negeri. Cadangan penubuhannya mesti dibawa kepada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri untuk dikuatkuasakan.

Apabila penubuhan jawatankuasa ini dilakukan menerusi kelulusan DUN maka pelaksanaan pelan dan projek yang dikenal pasti tidak terjejas atau dibatalkan andai berlaku pertukaran tampuk kerajaan.

Tidak boleh berkompromi

Ketegasan PN mendesak mengenai isu ini amat jelas kerana kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan nyawa penduduk dan harta benda mereka serta masa depan kegiatan sosioekonomi negeri ini.

Kami menuntut jaminan bahawa kerajaan negeri mahupun Persekutuan mesti bersungguh menyelesaikan segera ancaman bencana banjir sekarang serta fenomena limpahan air laut ke daratan pada masa akan datang.

Atau, jika kerajaan tidak peduli atau tiada berkemampuan menyediakan pelan induk dan melaksanakan inisiatif tersebut segera maka PN berjanji akan melakukannya sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.

Selain itu, PN kesal sikap kerajaan yang lewat bertindak bagi menghadapi bencana kali ini walaupun Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran beberapa hari sebelum kejadian.

MOHD SOLIHAN BADRI
Naib Pengerusi
Perikatan Nasional Johor.
14 Mac 2023

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here