Mangsa banjir di 4 negeri berkurangan kepada 41,154 orang pagi ini

0
163

JUMLAH mangsa banjir di empat negeri terus menunjukkan penurunan kepada 41,154 orang setakat pagi ini berbanding 41,994 orang malam tadi.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 40,847 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 41,661 orang yang direkodkan pada 8 malam tadi. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan seramai 11,496 keluarga masih ditempatkan di 139 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di empat daerah. 

Menurut JPBN, Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 39,256 orang daripada 10,966 keluarga, diikuti Muar dengan 781 orang (226 keluarga), Tangkak dengan 576 orang (241 keluarga) dan Segamat pula dengan 234 orang (63 keluarga). 

Empat sungai di Batu Pahat masih melepasi paras bahaya iaitu Empangan Bekok di Sungai Bekok pada paras 19.47 meter (m), Sungai Senggarang di Senggarang (3.63m), Sungai Simpang Kiri di Sri Medan (2.40m) dan Sungai Simpang Kiri di Parit Sulong (2.05m) serta Sungai Muar di Bukit Kepong (Muar) mencatatkan 3.57m.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin terus menurun kepada 61 mangsa daripada 14 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 87 orang daripada 20 keluarga malam tadi susulan empat PPS ditutup secara berperingkat sejak semalam.

Sekretariat JPBN  dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mangsa tersebut ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu.

Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 155 orang daripada 54 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di Rompin. 

Sementara itu, di SARAWAK, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir masih kekal 91 orang daripada 18 keluarga melibatkan kawasan Kuching yang ditempatkan di PPS Dewan Sinaran Lumut dan PPS Dewan Kampung Sungai Bedaun setakat 7 pagi ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here