Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
BEKAS Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu tebatan banjir tidak wajar dipolitikkan kerana merupakan isu rakyat.
“Sebelum ini saya sudah berkali-kali menyatakan bahawa projek tebatan banjir perlu disegerakan. Malah saya pernah mempersoalkan tindakan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang membatalkan projek tebatan banjir serta merta sejurus pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri.
“Yang terbaru selepas beberapa episod berlaku banjir, PMX mengumumkan pula bahawa projek tebatan banjir yang berjumlah RM600 juta ini akan disegerakan.
“Tidak wajar isu tebatan banjir ini dipolitikkan, sedangkan inilah isu rakyat. Jangan disebabkan tindakan kita, rakyat menjadi mangsa. Yang pasti, sudah ada rakyat terkorban menjadi mangsa banjir,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Pas berkata demikian dalam entri terbaharu menerusi Facebook miliknya, hari ini.
Hari ini, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa satu langkah segera diambil bagi menangani isu banjir yang melanda beberapa daerah di Johor.
Menurut Tunku Ismail, masalah banjir yang berlarutan setiap tahun dengan membabitkan kerugian harta benda di Johor perlu diatasi secepat mungkin dan menggesa keperluan sistem tebatan banjir yang baik perlu dilaksanakan pada kadar segera.
“Kasihan pada rakyat yang susah kerana barang dan rumah rosak. Saya harap kerajaan boleh bertindak sebaik mungkin.
“Setiap tahun, saya pergi (melawat mangsa banjir) terpaksa cakap benda yang sama, bersabar. Sampai bila saya nak suruh orang sabar? Kita pun naik malu nak cakap.
“Saya harap kita boleh atasi secepat mungkin,” kata Tunku Ismail menerusi segmen Bekpes Hot di Hot FM, pagi tadi.
Pada 5 Disember lalu, Anwar mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion yang diluluskan semasa Tuan Ibrahim menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air tidak diteruskan.
Kata Anwar, ini kerana membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dalam reaksi balasnya berkata, Anwar tidak sepatutnya menganggap semua projek melalui rundingan terus sebagai tidak teratur terutama membabitkan projek penting perlu disegerakan serta kecemasan.
Jelas beliau, sebagai Menteri Kewangan, Anwar sepatutnya mengetahui bahawa rundingan terus kepada projek tebatan banjir yang perlu disegerakan bukanlah satu kesalahan perolehan.
Beliau berkata, Anwar tahu banyak projek kecemasan perlu disegerakan bagi mengurangkan bencana lebih besar dan mendapat kerugian lebih banyak. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.