Exco Johor sah menang Naib Ketua Pemuda UMNO

0
215

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MOHD. Hairi Mad Shah sah memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO selepas menang tipis ke atas pencabar utamanya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor itu memperoleh 87 undi, melebihi tiga undi diraih Ikmal.

“Kemenangan bagi Hairi bagi jawatan naib ketua Pemuda hanya ditentukan pada 12 tengah hari tadi apabila keputusan dari bahagian akhirnya semua dapat diperoleh,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Shahrir berkata, keputusan bagi pemilihan jawatan itu belum boleh dimuktamadkan memandangkan terdapat lapan bahagian belum menghantar keputusan undian mereka.

Di peringkat Wanita, katanya, Noraini Ahmad mempertahankan kedudukannya yang dicabar Shahrizat Jalil, manakala Norliza Abdul Rahim turut mempertahankan jawatannya sebagai naib ketua Wanita.

Sementara itu, Mohd. Hairi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Johor Bahru petang ini, melahirkan harapan agar mereka yang kalah dalam pemilihan UMNO agar terus berjuang dan bersama-sama mengukuh parti.

Ketua Pemuda UMNO Johor itu berkata, tanggungjawab dan semangat tersebut perlu dikekalkan bagi mengelak perpecahan dalam parti.

“Mereka yang menang, bukan menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua. Sebagaimana yang dituntut dalam agama kita bahawa Islam membentuk kita supaya menjadi umat yang bersatu.

“Kita dituntut bukan sahaja beriman dengan tuhan yang satu, sebarang bentuk perpecahan hendaklah kita tangani dengan sebaiknya.

“Ini seperti perintah dalam Surah Al-Anfal, ayat 46:Dan janganlah kamu bersengketa kerana dengan persengketaan akan menyebabkan kamu hilang kekuatan kamu,” katanya.

Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin melahirkan rasa syukur dengan kemenangannya dan berazam akan terus berusaha lebih gigih lagi bagi memastikan segala perancangan parti tercapai.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua para perwakilan pergerakan Pemuda UMNO di seluruh negara yang telah memberikan kepercayaan kepada saya sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO.

“Ironinya, genap setahun selepas saya diumumkan memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin sebagai wakil rakyat tahun lalu, hari ini secara rasminya saya diumumkan sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here