PENYANYI rock legenda, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search, mengecam cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membenarkan pencarum menjadikan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran untuk pinjaman peribadi di bank.
Tegas beliau, langkah itu hanya akan menguntungkan institusi kewangan itu memungut faedah.
“Pinjam bank mesti ada interest (faedah), sebab mana ada bank bagi pinjam tiada interest sebab duit bank duit orang ramai (pendeposit).
“Lagi satu kalau tak bayar interest bertambah. Akhirnya interest pinjaman campur dengan interest lewat bayar akan jadi berganda-ganda.
“Jadi untung besar bank,” katanya dalam ruang komen berkaitan video di Facebook yang membincangkan mengenai cadangan tersebut, lapor MalaysiaNow.
Amy memberi amaran sebarang kegagalan untuk menjelaskan pinjaman bank akan menyebabkan simpanan KWSP seseorang dirampas.
“Bank peduli apa? Sebab semua termaktub dalam perjanjian yang dah ditandatangani. Berhati-hatilah sahabat semua, jangan sampai duit KWSP habis disebabkan interest.
“Jadi pinjam duit bank dan cagarkan KWSP bukan satu jalan yang bijak,” tambahnya.
Anwar dalam sesi penggulungan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 9 Mac lalu bersetuju memperkenalkan kaedah secara kolateral iaitu mencadangkan agar pencarum mencagarkan wang caruman KWSP masing-masing kepada bank untuk membuat pinjaman.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.