93 kilang tutup operasi sejak 2018 hingga 2022

0
187

LEBIH 17,000 pekerja kilang diberhentikan dalam tempoh 2018 hingga Julai 2022, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Liew Chin Tong.

Beliau berkata, jumlah berkenaan direkodkan susulan 93 syarikat perkilangan ditutup operasi sepenuhnya.

“Syarikat pengilangan yang telah menutup operasi sepenuhnya dalam tempoh 2018 hingga Julai 2022, iaitu 93 syarikat pengilangan telah menutup operasi sepenuhnya melibatkan pemberhentian seramai 17,648 pekerja,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta Miti menyatakan apakah usaha kerajaan bagi memastikan syarikat besar tidak beralih arah dari Malaysia ke negara lain.

Menurut Chin Tong, dalam tempoh sama juga, sebanyak 3,893 projek pengilangan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM503.3 bilion diluluskan.

“Projek ini telah menyediakan 331,509 peluang pekerjaan, daripada jumlah ini sebanyak RM388.2 bilion atau pun 70 peratus pelaburan langsung asing (FDI) manakala RM115.2 bioion atau 22.9 peratus merupakan pelaburan langsung domestik (DDI),” katanya.

Katanya, kerajaan melalui Miti dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) juga sentiasa mengambil langkah proaktif menarik pelabur pelbagai sektor di Malaysia, termasuk memperkemaskan semula fokus dan strategi semasa.

Jelasnya, negara merekodkan prestasi memberangsangkan dengan kelulusan pelaburan RM309.4 bilion dan RM264.6 bilion, masing-masing pada 2021 dan 2022.

“Jumlah pelaburan yang diluluskan ini berpotensi mewujudkan 140,370 peluang pekerjaan baharu bagi tahun 2022,” katanya, lapor FMT.

Katanya, Miti akan meneruskan dasar diperkenalkan kerajaan terdahulu untuk menarik FDI dan DDI termasuk tawaran gaji tinggi kepada pekerja bagi menarik rakyat tempatan terus bekerja dalam negara, berbanding berhijrah ke Singapura.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here