Dana politik: Muhyiddin cabar SPRM siasat Anwar, Zahid, DAP

0
230

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berhubung punca pendapatan kedua-dua parti itu.

Presiden Bersatu itu mempersoalkan tidakkah mereka juga menerima dana politik daripada ahli-ahli perniagaan?

‘’Sebelum PRU 15, UMNO adalah parti utama dalam Kerajaan Persekutuan. Perdana Menteri daripada UMNO. Parti itu juga mengetuai Kerajaan Negeri Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor. Adakah UMNO tidak menerima sumbangan dana politik daripada ahli-ahli perniagaan?

‘’PKR pula mengetuai Kerajaan Negeri Selangor dan Negeri Sembilan. DAP mengetuai Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Adakah PKR dan DAP tidak menerima sumbangan dana politik daripada ahli-ahli perniagaan,’’ katanya.

Beliau membuat cabaran itu ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Ke-5 di Kuala Lumpur.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, banyak laporan telah dibuat oleh ahli-ahli Bersatu supaya SPRM menyiasat sumber dana parti-parti ini. Tetapi yang disiasat hanyalah Bersatu.

’Yang didakwa hanyalah saya sebagai Presiden BERSATU. Parti lain dan Presiden parti lain dikecualikan daripada siasatan dan pendakwaan. Bukankah ini suatu bentuk pendakwaan politik yang terpilih?

‘’Malah, semasa proses siasatan masih berjalan, banyak kali media arus perdana secara tidak bertanggungjawab dan berniat jahat telah memetik sumber tidak bernama SPRM mengatakan saya akan ditahan dan didakwa. Seolahnya, mereka telah tahu bahawa saya akan didakwa walaupun siasatan belum selesai. Mungkin bagi mereka, by hook or by crook, I must be charged.

‘’Apa maknanya ini? Adakah siasatan ke atas saya dilakukan secara bebas jika keputusan untuk mendakwa telah dibuat oleh pihak tertentu sebelum siasatan dilengkapkan?,’’ soal beliau.

Muhyiddin menegaskan, beliau tidak bersalah dan akan menjawab ]segala pertuduhan di mahkamah kelak.

‘’Saya telah berbincang dengan pasukan peguam saya. Pendakwaan ke atas saya mempunyai banyak kelemahan. Ia dibuat bukan kerana ada asas bukti yang kukuh, tetapi kerana arahan orang atas. InsyaAllah, saya berdoa ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan saya diberikan keadilan di mahkamah,’’ katanya.

Beliau berkata, dua  hari lalu, beliau telah diheret ke mahkamah untuk menghadapi enam pertuduhan menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri untuk menerima sumbangan dana politik untuk Bersatu.

Esok katanya, beliau akan menghadapi satu lagi pertuduhan yang sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan kesemua tujuh pertuduhan ke atas beliau adalah atas kapasiti  sebagai Presiden Bersatu.

‘’Jika didapati bersalah, saya akan dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai sumbangan yang diterima oleh Bersatu. Ini adalah pertama kali dalam sejarah seorang Presiden parti politik didakwa di mahkamah kerana partinya menerima sumbangan dana politik,’’ katanya.

Muhyiddin berkata, beliau sudah 50 tahun dalam dunia dan  parti politik tidak menjalankan perniagaan untuk menjana pendapatan bagi membiayai kegiatan parti termasuk pilihanraya.

‘’Oleh itu, sumber utama dana parti politik adalah sumbangan daripada para ahli dan penyokong parti, termasuklah ahli perniagaan, hartawan dan dermawan yang menyokong perjuangan parti. Tanpa sumbangan dana, tentulah amat sukar bagi sesebuah parti politik untuk menjalankan fungsinya dalam sebuah negara demokrasi,’’ katanya.

Beliau menjelaskan,  untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan parti, beliau menetapkan setiap sumbangan kepada Bersatu mesti dimasukkan terus ke dalam akaun bank Bersatu, bukan ke akaun beliau atau melalui beliau.

‘’Setiap sumbangan diuruskan dengan telus oleh Bendahari Agung yang menyelia hal ehwal kewangan parti selaras dengan fungsi beliau di bawah Perlembagaan parti. Apabila menerima sumbangan, beliau akan memasukkannya ke dalam akaun parti dan menyimpan rekod,’’ katanya.

Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh menegaskan, akaun parti diaudit oleh juruaudit bertauliah dan dibentangkan di dalam Perhimpunan Agung Tahunan untuk diteliti oleh para perwakilan. Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nilai integriti dan amanah, tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan dalam pengurusan kewangan parti.

‘’Rekod akaun BERSATU pula disimpan oleh Bendahari Agung. Setiap aliran wang masuk dan keluar boleh disemak. Adakah terdapat rekod saya mengambil wang yang disumbangkan kepada parti untuk kegunaan saya? Tidak ada. Jika ada, saya pasti SPRM telah menjumpai buktinya kerana semua rekod akaun BERSATU telah dirampas oleh SPRM.

‘’Yang jelas, dalam semua tujuh pertuduhan yang dikenakan ke atas saya, tidak ada satu pun pertuduhan yang berkaitan dengan wang masuk ke akaun saya. Semuanya masuk ke akaun parti.

‘’Pada mulanya mereka tuduh saya seleweng RM600 bilion. Kemudiannya RM92.5 bilion. Kemudian RM4 hingga RM5 bilion. Selepas itu RM300 juta,’’ katanya.

Bagaimanapun tegas beliau  apabila dituduh di mahkamah, tidak ada satu pun pertuduhan yang mengatakan beliau mengambil wang rasuah.

‘’Ini penting untuk saya jelaskan kepada para perwakilan dan ahli-ahli Bersatu. Saya tidak ambil rasuah walau satu sen pun. Tetapi oleh kerana kedudukan saya sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional dilihat sebagai pencabar utama kepada Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi, yang kedua-duanya menubuhkan kerajaan campuran luar tabi’e Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, saya telah dijadikan mangsa pendakwaan politik terpilih,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here