Pendakwaan politik pemimpin PN ‘bukan tak berasas’, kata C4

0
154

DAKWAAN pemimpin Perikatan Nasional (PN) berhubung siasatan dan pendakwaan terhadap mereka bermotifkan politik ‘bukanlah tidak berasas sama sekali’, kata Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

Kumpulan antirasuah itu berkata, pentadbiran terdahulu diketahui menggunakan agensi penguatkuasaan untuk menakut-nakutkan dan mengganggu lawan politik.

C4 tidak menamakan pentadbiran sebelum ini yang dimaksudkannya. Kenyataan itu dibuat selepas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah semalam.

Menurut C4, penting bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai motif dalaman terhadap sebarang kecenderungan politik.

Ia turut mempersoalkan mengapa SPRM hanya memulakan siasatan dan pendakwaan kes dikaitkan dengan program Jana Wibawa selepas kerajaan baharu berkuasa.

“Mengapa siasatan ini tidak dimulakan sedangkan dakwaan mengenai salah urus kewangan dan penyelewengan kerajaan terdahulu sudah tersebar,” soalnya dalam kenyataan, lapor FMT.

C4 berkata, dalam tempoh terdekat, SPRM harus dikeluarkan daripada pengaruh langsung perdana menteri dan cabang eksekutif, selain
mencadangkan agensi itu diletakkan di bawah pengawasan Parlimen.

Ia turut menggesa pembaharuan institusi yang akan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti, seperti penggubalan Akta Perolehan, Akta Pembiayaan Politik serta penubuhan pejabat Ombudsman.

Semalam, SPRM menafikan sebarang campur tangan dalam siasatannya terhadap program Jana Wibawa, sebaliknya siasatannya berdasarkan maklumat dan bukti diperoleh agensi itu sendiri.

Muhyiddin didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa berhubung program Jana Wibawa untuk memperoleh RM232.5 juta bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Presiden Bersatu itu menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan semasa menjadi perdana menteri dan pertuduhan terhadapnya ‘bersifat politik’ serta mencemarkan nama baiknya, PN dan Bersatu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan antara pemimpin PN yang menyuarakan kebimbangan sama terhadap pertuduhan bermotif politik terhadap gabungan pembangkang.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor daripada Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad didakwa bulan lalu atas tuduhan meminta serta menerima rasuah yang dikaitkan dengan Jana Wibawa.

Program Jana Wibawa, yang diperkenalkan pada 2020 ketika Muhyiddin menerajui kerajaan, bertujuan membantu perniagaan Bumiputera semasa pandemik Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here