KWSP: Cadangan Anwar tidak bijak, Gerakan saran skim pinjaman ahli memerlukan

0
191

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan caruman ahli dijadikan cagaran pinjaman bank sebagai tidak bijak.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, ini kerana pengeluaran wang simpanan KWSP adalah hak ahli bukannnya hak kerajaan.

Sebaliknya beliau mencadangkan KWSP mewujudkan skim pinjaman khas untuk ahlinya yang memerlukan untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka.

Menurutnya, KWSP boleh mengenakan kadar faedah lebih rendah kepada peminjam dalam skim itu berbanding bank.

“Jika membuat pinjaman daripada bank, ia akan memberi lebih masalah kepada ahli KWSP kerana terpaksa membayar kadar faedah yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Mengulas lanjut Dominic berkata, menerusi langkah itu KWSP juga dapat memberi faedah kepada pencarum dalam bentuk dividen termasuk kepada ahli yang membuat pinjaman.

Dominic berpendapat, selain itu wang simpanan pencarum KWSP tidak akan terjejas kerana pinjaman perlu dibayar balik dan KWSP boleh memanfaatkan faedah yang diperoleh daripada pencarum KWSP melalui dividen tahunan.

Katanya, jika pencarum menggunakan wang simpanan mereka untuk membayar pinjaman bank, ahli KWSP juga perlu membayar kadar faedah yang ditetapkan oleh bank.

“Ini boleh diumpama seperti membuat pinjaman dengan ceti haram. Kenapa jadikan wang simpanan KWSP sebagai cagaran? Itu hak rakyat bukan duit kerajaan atau bank,” katanya.

Beliau berkata langkah itu juga akan menambahkan lagi beban kewangan rakyat kerana terpaksa bayar faedah pinjaman.

“Ini (cagaran wang KWSP) bukan membantu tapi menyusahkan dan menambah hutang rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here