Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Penyokong yakin ‘Abah’ tak salah -

Penyokong yakin ‘Abah’ tak salah

LAUNGAN ‘Hidup Abah’, ‘Tolak Kezaliman’ dan ‘Kami Sayang Abah’ kedengaran ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 11.55 pagi tadi.

Kira-kira 300 penyokong berada di luar kompleks mahkamah berkenaan sejak pukul 8.30 pagi sebagai tanda sokongan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Penyokong berkenaan ada yang memakai kemeja-T putih dengan tulisan ‘Kami Bersama Abah’ manakala terdapat juga penyokong yang memakai kain ikat kepala berwarna merah dengan tanda pagar #AbahTabah.

Mereka terpaksa berkumpul di luar kompleks mahkamah kerana pintu masuk utama menuju ke lobi ditutup kepada orang ramai atas faktor keselamatan.

Mereka menunggu Muhyiddin membayar wang jaminan sebanyak RM2 juta yang mengambil masa kira-kira tiga jam.

Sambil menunggu, mereka turut melaungkan slogan seperti ‘Tolak Pakatan Harapan’ dan ‘Hidup Perikatan Nasional’.

Seorang penyokong, Bukhari Hashim, 30, yang tiba dari Terengganu tengah malam tadi berkata, beliau percaya pertuduhan terhadap Muhyiddin itu bermotifkan politik.

Sebahagian daripada penyokong-penyokong menunggu diluar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan menghadapi tuduhan rasuah, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Kami tahu ‘Abah’ tidak bersalah. Ini adalah cubaan untuk mencemarkan imej baik beliau yang dibina dan diperkukuhkan semasa memegang jawatan ketika menangani wabak Covid-19 di negara ini.

“Beliau mentadbir negara ini dengan baik dan disebabkan itu ada yang cemburu. Mereka tidak mempunyai idea lain untuk mengaitkannya, jadi ini adalah satu-satunya cara untuk menjatuhkannya.

“Dan kami sangat berharap dengan pertolongan Allah, Muhyiddin akan dibebaskan. Rakyat tahu bahawa tuduhan itu tidak berasas,” katanya, lapor Berita Harian.

Muhyiddin, 76, hari ini didakwa dengan enam pertuduhan penggubahan wang haram dan rasuah berjumlah RM472.5 juta. Beliau mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu.

Ketika Muhyiddin keluar dari pekarangan lobi berkenaan, penyokong dilihat mengepung kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri itu yang diletakkan di luar kompleks mahkamah.

Laungan ‘Hidup! Hidup! Hidup! Abah!’ semakin kuat dilaungkan apabila Muhyiddin dan rombongannya termasuk ahli keluarga mendekati penyokong.

Walaupun terdapat kumpulan polis yang diletakkan bersama dengan penyokong, namun tetap berlaku sedikit kekecohan apabila sekumpulan besar penyokong itu tidak berpuas hati dengan beberapa jurugambar menghalang mereka yang ingin melihat Muhyiddin dengan lebih dekat.

Muhyiddin juga tidak melepaskan peluang untuk melaungkan ‘Lawan Tetap Lawan’ dan ‘Takbir! Allahuakhbar!’ sebelum meninggalkan kompleks berkenaan.

Terdahulu Muhyiddin tiba di kompleks itu pada pukul 8.40 pagi ditemani isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan pemimpin Bersatu.

Ini termasuk Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu; Ahli Majlis Tertinggi parti, Datuk Seri Azmin Ali dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Dr. Radzi Jidin, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan ramai lagi.

Difahamkan, penyokong terbabit datang ke kompleks itu menaiki dua buah bas dan mula melaungkan ‘Bebas Abah!’ apabila melihat kereta Muhyiddin tiba di mahkamah.

Bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun juga dilihat tiba di kompleks mahkamah pukul 8.15 pagi, manakala anak-anak Muhyiddin dilihat berjalan masuk kira-kira 8.20 pagi.