PAS yakin dapat menawan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pada pertengahan tahun ini.
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Husain Awang berkata, pihaknya akan menyapu bersih 32 DUN Terengganu dan keyakinan itu berdasarkan perkembangan semasa berlaku di negeri tersebut.
“Pas berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 22 kerusi DUN dalam PRU14, dan akan berusaha mengekalkan kedudukan itu pada PRN nanti.
“Kita sudah ada 22 kerusi dan sedang berusaha tawan 10 lagi kerusi berbaki,” katanya menurut Sinar Harian.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, UMNO tumbang di Terengganu apabila hanya menang 10 kerusi DUN iaitu Hulu Besut, Jertih, Kuala Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.
Mengenai agihan kerusi antara parti dalam PN, Husain berkata, perkara itu belum diputuskan dan masih dalam proses rundingan di peringkat tertinggi.
“Rundingan agihan kerusi dibuat di peringkat tertinggi, ia akan diputuskan oleh pusat,” katanya.
Enam negeri perlu mengadakan PRN tahun ini adalah Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.