Ketua Armada Bersatu pertahan ‘rancang rampas kerajaan’ Hadi

0
221

KETUA Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempertahankan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Perikatan Nasional (PN) berhak merancang merampas kerajaan.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, Hadi sekadar menjelaskan bahawa perubahan kerajaan boleh berlaku dalam demokrasi berparlimen walaupun dengan keberadaan Akta Lompat Parti, namun telah disalah erti oleh pihak media.

“Apakah boleh berlaku penjajaran semula di Putrajaya? Sudah tentu boleh, selagi mana ahli Parlimen diberi ruang untuk memilih seorang perdana menteri,” katanya memetik laporan FMT.

Katanya, undang-undang dan Perlembagaan tidak menghalang mana-mana ahli Parlimen menyokong mana-mana wakil rakyat sebagai Perdana Menteri.

“Saya tak nak berspekulasi lah berkenaan ini, cuma saya boleh tegaskan, bahawa pilihan untuk menyokong salah seorang daripada kami menjadi perdana menteri sentiasa ada,” katanya.

Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, dilapor berkata, PN berhak merancang merampas kerajaan daripada pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan gabungan itu berusaha melalui pilihan raya dan Parlimen.

Mengulas seruan pemimpin PH yang mahu tindakan diambil terhadap Hadi, Wan Fayhsal berkata, pihaknya melihat PH kini dalam ketakutan.

“Kalau kamu betul-betul dapat sokongan dua pertiga (di Dewan Rakyat), kenapa kamu takut? Kenapa kamu takut sampai menyuruh menteri dalam negeri menggunakan instrumen keselamatan membuat siasatan terhadap komen yang bersifat ilmiah,” soalnya.

Beliau menepis dakwaan bahawa kenyataan Hadi itu bersifat menghasut.

“Kalau tak boleh tukar (pemerintah), kita diperintah oleh diktator,” katanya.

Sementara itu, Wan Fayhsal menyanggah kritikan penyokong kerajaan perpaduan bahawa PN hipokrit apabila menuntut PH mengotakan janji memberi peruntukan sama rata kepada wakil rakyat pembangkang.

“Sebab kami tak buat, sekarang kamu pun tak nak buat. Jadi apa beza kamu dan kami, dan untuk rakyat,” soalnya lagi.

Beliau mengingatkan bahawa meskipun PN tidak pernah menjanjikan peruntukan sama rata, ia sedia menerima cadangan daripada wakil rakyat lain, seperti apabila Perdana Menterinya, Muhyiddin Yassin, memberikan peruntukan khas kepada semua Ahli Parlimen ketika Covid-19.

“Sekurang-kurangnya, kalau tak nak beri peruntukan pembangunan, sebagai Ahli Parlimen kami berhak terima peruntukan lebih kurang RM300,000 untuk kami wujudkan pusat khidmat,” ujarnya.

Peruntukan itu jelasnya, bukan untuk bermewah atau perlu diminta dan sepatutnya menjadi hak kepada semua ahli Parlimen.

Atas kesedaran itu, Wan Fayhsal ditanya mengapa ‘hak’ itu tidak diberikan ketika PN memerintah.

“Itu kamu perlu ajukan kepada Muhyiddin. Saya tiada jawapan. Ini masalah yang saya sendiri perlu akui.

“Kalau kita nak reformasi apa yang ada, kita institusikan hal peruntukan ini dalam satu akta yang jelas, supaya sesiapa sahaja yang jadi kerajaan perlu beri peruntukan yang sama adil,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyokong prinsip memberikan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen, namun menyeru pembangkang untuk berunding dengan pemerintah.

Beliau juga mahu PN merenung kembali pemberian kepada wakil-wakil rakyat pembangkang di negeri yang ditadbir gabungan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here